
IPOH - Polis sudah merakam percakapan lima individu termasuk pegawai penjara berhubung kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di Penjara Tapah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mereka yang turut dipanggil memberi keterangan ialah anggota pengawal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal pos bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun menurutnya, belum ada tangkapan dibuat setakat ini.
"Kita sedang menyiasat individu luar yang terlibat mengirimkan dron tersebut dan siapakah pihak dalam penjara yang bertindak sebagai penerima.
"Setakat ini, kita belum boleh mengagak pihak yang terlibat, namun polis percaya kes ini ada kaitan dengan sindiket.
"Kita sedang memantau kes ini dan pihak Bukit Aman juga telah ambil alih siasatan perkara ini untuk dilihat dari semua aspek," katanya kepada pemberita sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati, kawasan penjara berkenaan dilengkapi dengan CCTV bagi mengawal keselamatan dan pergerakan.
Katanya, hanya semasa kejadian itu berlaku, CCTV terbabit tidak dapat mengesan kehadiran peralatan itu kerana diterbangkan terlalu tinggi.
"Modus operandi mereka menerbangkan dron pada kedudukan tinggi sehingga tidak dapat dicapai dan menjatuhkan bahan dadah dengan melepaskan dari kawasan tinggi terus ke lokasi," katanya.
Azizi berkata, berdasarkan rekod sejak 2022, telah berlaku beberapa kes membawa masuk dadah ke Penjara Tapah yang melibatkan tangkapan banduan dan rampasan dadah antaranya heroin, methamphetamine dan pil yaba.
"Bawa dadah masuk ke penjara bukan pertama kali, tetapi yang melibatkan dron jatuh, ini pertama kali dijumpai di situ.
"Kita tak tahu mungkin sudah ada kes yang berjaya masuk, cuma kali ini mereka gagal dan berjaya dikesan," katanya.
Dalam kejadian itu, dron berwarna putih ditemui atas bumbung Blok Aman Penjara Tapah semasa rondaan sarjan penjara.
Pemeriksaan kemudiannya menjumpai beg digantung pada dron yang di dalamnya terdapat satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram.
Pada Isnin, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes sindiket menggunakan dron menyeludup dadah ke dalam penjara.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, langkah itu susulan tujuh kes penyeludupan dadah menggunakan dron yang dilaporkan di penjara membabitkan di Perak, Kedah, Melaka, Sarawak dan Johor.
@sinarharianonline Lima dirakam percakapan kes seludup dadah guna dron di penjara Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #Jenayah #Dadah #Seludup #Penjara #Dron #Polis
original sound - Sinar Harian

