Seludup Diesel Di Sempadan: Malaysia Rugi RM1.2 Juta Sehari

19 May 2024 • 8:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Aedy Fadly Ramli (duduk, tengah) menunjukkan tangki tersembunyi pada treler dengan nombor pendaftaran negara jiran yang digunakan untuk menyeludup diesel ke Thailand. - Gambar Rafisqi Radhi

KUBANG PASU - Operasi Khas 'Ops Tangki' secara bersepadu oleh beberapa agensi penguatkuasaan sejak lima hari lalu mendedahkan kerugian besar yang ditanggung negara akibat penyeludupan diesel di sempadan Bukit Kayu Hitam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, kerugian akibat ketirisan di sempadan negara itu dianggarkan mampu mencecah RM1.2 juta sehari.

Menurut beliau, anggaran itu dibuat bersandarkan kiraan kasar hasil daripada tindakan diambil dalam operasi berkenaan terhadap 18 kenderaan asing yang sudah diubah suai untuk menyeludup diesel.

"Jika kesemua 18 kenderaan ini melakukan satu trip sehari untuk menyeludup diesel, nilai kerugian yang dianggarkan akibat ketirisan itu adalah sebanyak RM250,000 sehari.

"Tetapi menerusi soal siasat dijalankan, mereka mengakui sering berulang-alik hingga lima trip sehari bagi menyeludup diesel. Itu bermakna kerugian ditanggung akibat perbuatan tersebut mampu mencecah hingga RM1.2 juta sehari," katanya.

image is not available
Tangki yang tersembunyi di bahagian bawah sebuah treler. – Gambar JPJ

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Depoh Tahanan Kenderaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini, hari ini.

Kesemua 18 kenderaan yang disita itu terdiri daripada dua treler serta beberapa kenderaan lain termasuk lori, pacuan empat roda dan kereta.

Operasi berkenaan yang dimulakan sejak 15 Mei lalu hingga hari ini melibatkan kerjasama antara JPJ Kedah dan Perlis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta polis.

Selain 18 kenderaan itu, JPJ turut mengeluarkan 87 notis pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

Mengulas lanjut Aedy berkata, JPJ bersama pihak berkuasa lain bakal meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi berdepan isu itu di sempadan.

"Buat masa ini, tindakan diambil mengikut Kaedah 34 Ubahsuai Tangki Tanpa Kebenaran, peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"Dalam masa sama, pihak kami sedang melihat semula kaedah tertentu berkaitan pengubah suaian kenderaan kerana kes sebegini biasanya melibatkan kenderaan asing. Kami juga dengan lebih giat akan memastikan kegiatan ini dibendung mengikut undang-undang yang tertakluk di bawah bidang tugas JPJ," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, pihaknya mendapati kalangan penyeludup terlibat menggunakan pas sempadan dan passport secara berselang-seli untuk berulang alik ke negara ini.

"Kebanyakan penduduk di sempadan kedua-dua negara mempunyai dua dokumen untuk 'menyeberang' iaitu passport dan pas sempadan. Oleh itu kalangan penyeludup ini akan menggunakannya secara berselang-seli apabila berulang-alik di sempadan.

"Jika mereka menggunakan passport untuk trip pertama, maka mereka akan gunakan pas sempadan pula untuk trip kedua. Sehubungan itu, kami telah mengambil satu tindakan susulan daripada operasi bersepadu ini iaitu dengan mewujudkan satu profil terhadap pemandu kenderaan yang menggunakan kaedah berkenaan," katanya.   

Melalui pembentukan profil itu jelasnya, JIM boleh menolak kemasukan individu disyaki terlibat dengan kegiatan berkenaan di bawah peraturan Imigresen berkaitan imigran larangan.

"Biasanya imigran larangan melibatkan golongan yang disyaki terlibat dalam kes tertentu seperti pelayan pelanggan (GRO) atau peminta sedekah. Melalui cara ini, insya-Allah kita dapat membantu JPJ serta KPDN bagi mengatasi isu berkaitan pengubahsuaian kenderaan serta penyeludupan diesel," katanya. - Getaran, 19 Mei 2024.