
SHAH ALAM, 29 SEPT: Seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diramal hujan lebat hingga 4 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Agensi itu turut meramalkan ribut petir dan hujan lebat melanda seluruh Perlis, Pulau Pinang dan Perak selain beberapa daerah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

