Semakan kadar pemberian khas RM300 juta bagi Sabah, Sarawak melalui rumusan secara interim - PM Anwar

29 Nov 2023 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Semakan kadar pemberian khas RM300 juta bagi Sabah, Sarawak melalui rumusan secara interim - PM Anwar

zulfadli

29/11/2023 - 15:11

KUALA LUMPUR 29 Nov - Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak mencapai persetujuan untuk semakan kadar amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa bermula 2023 sebagai rumusan secara interim sementara proses memuktamadkan formula semakan pemberian khas bagi jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rumusan secara interim itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang telah berlangsung pada 20 Januari lalu dan dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, persetujuan adalah meliputi perkara-perkara, antaranya kadar amaun pemberian khas baharu bagi Negeri Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta mulai 2023.

Katanya, kadar interim itu merupakan peningkatan kepada amaun yang sedang berkuat kuasa RM16 juta setahun bagi Sarawak sejak 1969 dan RM125.6 juta bagi Sabah bagi 2022 melalui semakan interim yang dilaksanakan untuk Sabah pada 2022.

"Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak komited untuk meneruskan perundingan dan melaksanakan semakan semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk memuktamadkan formula penentuan kadar pemberian yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian semakan pemberian khas dengan mengambil kira pertimbangan keperluan kedua-dua kerajaan negeri itu berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112D(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Anwar, bagi melaksanakan semakan kadar amaun pemberian khas baharu itu berdasarkan Perkara 112D(1) dan 112D(5) Perlembagaan Persekutuan, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sarawak) 2023 diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 24 November 2023.

Katanya, bayaran pemberian khas tahun 2023 pada kadar baharu RM300 juta telah disempurnakan semalam melalui penyaluran kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com