Semakan kehakiman bapa Altantuya ditangguh 12 Januari depan

6 Oct 2026 • 4:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Semakan kehakiman bapa Altantuya ditangguh 12 Januari depan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Januari depan bagi pendengaran permohonan semakan kehakiman bapa mendiang Altantuya Shaariibuu berhubung siasatan polis terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri.

Perkara itu dimaklumkan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev yang mana beliau memaklumkan tarikh baharu itu susulan responden dalam kes ini ingin memfailkan afidavit jawapan terhadap afidavit yang dikemukakan pihaknya hari ini.

Sangeet berkata, dalam hujahan bertulis, responden antara lain mengambil pendirian bahawa pemohon tidak pernah memberikan maklumat mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan oleh itu tiada kewajipan bagi pihak mereka memaklumkan status siasatan kepada pemohon.

“Sebagai jawapan, kami mengemukakan kepada mahkamah laporan polis yang dibuat pemohon pada 2018, yang secara khusus memohon supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Responden memohon peluang untuk memberi maklum balas terhadap kandungan afidavit itu,” katanya.

Tambah peguam tersebut, justeru Hakim Norliza Othman menangguhkan pendengaran ke 12 Januari 2027 bagi membolehkan responden memfailkan afidavit jawapan.

Dalam permohonan itu, Shaariibuu selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mahkamah Tinggi hari ini sepatutnya mendengar permohonan semakan kehakiman keluarga mendiang Altantuya supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah Azilah yang terbabit dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Pada 16 Oktober 2025, Hakim Datuk Aliza Sulaiman (kini hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mahkamah diberitahu bahawa Peguam Negara tidak membantah permohonan itu.

Berdasarkan permohonan semakan kehakiman terbabit, Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Shaariibuu memohon perisytiharan, keputusan kesemua responden yang tidak memaklumkan kepadanya status siasatan terkini dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, bertentangan dengan undang-undang.

Afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019 itu digunakan oleh bekas pegawai polis itu bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.

Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk menjalankan ‘operasi sulit’ bagi ‘membunuh dan menghapuskan si mati’.

Shaariibuu selaku pemohon berkata sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Turut dimohon, perintah mandamus supaya kesemua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh responden kedua (Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) terhadap kandungan kedua-dua dokumen dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Shaariibuu juga berkata, jika kesemua responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut,’ beliau mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil.

Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan selama 40 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Altantuya selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkannya. oleh bekas pegawai itu. – KOSMO! ONLINE

The post Semakan kehakiman bapa Altantuya ditangguh 12 Januari depan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved