
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, antara isu yang sering menjadi bualan ramai adalah mengenai semakan dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini.
Pengumuman yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang bimbang kerana pelaksanaan itu boleh memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.
Bagi kebanyakan individu, ada yang menganggap pengenaan cukai ini boleh menganggu corak perbelanjaan dan membebankan mereka.
Namun, menurut Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah semakan dan perluasan SST itu sebenarnya mahu memastikan rakyat mendapat lebih banyak manfaat.
Apa Itu SST?
Buat korang yang tidak tahu, SST merupakan cukai yang diperkenalkan semula pada 1 September 2018 bagi menggantikan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Sebelum itu, SST ini dah mula diperkenalkan sekitar tahun 1970-an namun digantikan dengan GST pada 1 April 2015.
Kenapa diperkenalkan semula? Ini kerana kerajaan pada waktu itu mahu pastikan sistem cukai menjadi lebih mudah dan tidak membebankan pengguna.
SST terdiri daripada dua komponen iaitu:
- Cukai Jualan (CJ) – Cukai yang dikenakan kepada barangan bercukai yang dihasilkan dalam negara oleh pengilang berdaftar atau barang diimport dari luar negara.
- Cukai Perkhidmatan (CP) – Cukai ini pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan. Kebiasaannya akan dikenakan kepada pengguna atau penerima yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Berapa Kadar Serta Jenis Barang & Perkhidmatan Cukai SST Sebelum Semakan & Peluasan 1 Julai
Bagi Cukai Jualan, kadar cukai ini adalah berbeza sama ada sebanyak 0% (tidak dikenakan cukai), 5%, 10% atau kadar tertentu bergantung pada jenis barang yang tersenarai dalam Jadual Perintah Cukai Jualan 2018.
Contoh barangan yang dikenakan cukai antaranya barangan elektronik seperti telefon pintar dan minuman beralkohol.

Apa Bezanya Dengan Cukai Perkhidmatan?
Pada asalnya, cukai perkhidmatan adalah 5% namun dinaikkan pada 2011 kepada 6%. Ia kemudiannya dinaikkan lagi kepada 8% pada tahun 2024, kecuali bagi perkhidmatan telekomunikasi, makanan dan minuman serta perkhidmatan penyediaan ruang letak kenderaan.
Pada waktu itu, antara perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah seperti industri perhotelan, insurans dan takaful, kelab seperti kelab malam atau golf, penyedia bekalan elektrik serta pertaruhan dan perjudian.

Apa Yang Baharu Dalam SST Bermula 1 Julai Ini?
Namun bagi peluasan skop baharu ini terdapat beberapa pembaharuan yang diperkenalkan dalam semakan cukai jualan dan peluasan cukai perkhidmatan pada kali ini.
Semakan Cukai Jualan
Semakan kadar cukai jualan akan dilakukan bagi barangan tertentu yang mempunyai kadar 0%,5% dan 10%.
Ringkasnya, terdapat beberapa barang yang masih kekal dengan kadar cukai 0% seperti barangan asas yang belum diproses namun ada di antara barang akan dinaikkan pada kadar 5% dan 10%.

Antara barangan asas rakyat yang masih kekal dengan 0% adalah makanan seperti daging ayam, daging lembu, telur, ikan dan banyak lagi.
Selain itu peralatan perubatan serta ubatan dan juga barangan keagamaan juga kekal tidak dikenakan cukai.



Pun begitu, terdapat barang-barang makanan yang akan dikenakan cukai jualan barangan pilihan sebanyak 5% seperti tuna, salmon, udang kara, king crab, sarang burung dan lain-lain.

Jika dilihat, kebanyakan makanan yang dikenakan cukai adalah makanan mewah atau bahasa mudahnya hanya untuk golongan berada dan tidak membabitkan makanan asas.
Selain itu, terdapat peningkatan kadar cukai untuk basikal lumba, lukisan dan arca antik (10%) dan dron (5%).

Namun sebelum ini, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) telah memberi amaran yang peluasan cukai ini akan memberi kesan yang ketara terhadap hampir semua barangan dan perkhidmatan perkilangan.
Menurut presidennya, peluasan SST bermakna hampir 97% barangan akan dikenakan cukai jualan.
Peluasan Cukai Perkhidmatan
Peluasan cukai perkhidmatan pula akan melihatkan penambahan beberapa lagi sektor (berbanding tujuh sedia ada) mengikut kadar cukai yang ditetapkan.
Namun, peluasan ini disertakan dengan nilai ambang dan pengecualian supaya tidak membebankan pengguna.
Ada servis yang dikenakan cukai mengikut nilai ambang tertentu malah ada kategori yang dikecualikan lebih-lebih lagi kepada Warganegara Malaysia dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Ini bermakna bukan semua perkhidmatan akan dikenakan cukai.
Ini antara sektor baharu dan kadar cukai perkhidmatan yang dikenakan dalam peluasan cukai perkhidmatan bermula 1 Julai ini:
- Perkhidmatan sewaan atau pajakan
- Perkhidmatan kerja pembinaan
- Perkhidmatan kewangan
- Perkhidmatan penjagaan kesihatan
- Perkhidmatan pendidikan (swasta bagi pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah)
- Perkhidmatan pendidikan (pengajian tinggi dan pusat bahasa)
- Perkhidmatan kecantikan
Berikut perincian info tentang peluasan SST bagi enam sektor tersebut.
#1 Perkhidmatan Sewaan Atau Pajakan (8%)

#2 Perkhidmatan Kerja Pembinaan (6%)

#3 Perkhidmatan Kewangan (8%)

#4 Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (6%)

#5 Perkhidmatan Pendidikan Swasta: Pra-Sekolah, Sekolah Rendah & Menengah Swasta (6%)

#6 Perkhidmatan Pendidikan Pengajian Tinggi & Pusat Bahasa (6%)

#7 Perkhidmatan Kecantikan (8%)

Kalau korang nak tahu perincian senarai barangan yang terlibat bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan, korang boleh layari di laman web rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Kenapa Kerajaan Buat Semakan & Peluasan SST?
Menurut MOF, semakan dan perluasan SST yang diumumkan bertujuan:
- Mengukuhkan lagi ruang fiskal agar lebih banyak inisiatif dan bantuan dapat diberikan kepada yang memerlukan bagi mengurangkan kos sara hidup
- Memastikan golongan rentan tidak terjejas dengan tiada kenaikan cukai jualan bagi barangan asas.
- Hasil cukai dapat digunakan untuk tambah baik perkhidmatan kepada rakyat seperti bantuan bencana serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
- Semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan melibatkan barang keperluan bukan asas dan barangan pilihan serta perkhidmatan tertentu.
- Sistem SST mudah difahami dan lebih bersasar. Pengenaan cukai perkhidmatan kepada sektor pendidikan tinggi dan kesihatan swasta hanya kepada bukan warga negara sahaja.

Apakah Kesan Semakan & Peluasan Cukai SST?
Harus diakui, semakan dan peluasan cukai SST ini sememangnya memberi kesan lebih-lebih lagi kepada pengguna termasuk negara sendiri.
Ada yang kurang bersetuju antaranya seperti Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) yang menggesa kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaan peluasan SST sehingga penilaian penuh dilaksanakan.
Bukan itu sahaja, Maybank Investment Bank turut menjangkakan peluasan SST terhadap perkhidmatan pembinaan akan memberikan kesan kepada pemaju hartanah kerana mereka mungkin perlu menyerap kos tambahan daripada cukai yang akan dikenakan bermula 1 Julai ini.
Ini berkemungkinan menyebabkan pemaju hartanah menaikkan harga unit setiap projek komersil yang dilakukan sama ada yang belum terjual atau projek baharu.
Malah, Malaysia Chinese Association (MCA) sebelum ini turut menyifatkan langkah ini akan membebankan golongan rakyat pertengahan dan bawahan.
Sebagai contoh, peluasan cukai perkhidmatan seperti sektor sewaan, pendidikan, perubatan, kecantikan dan lain-lain.
Dari sudut positifnya pula, kerajaan menjangkakan langkah peluasan ini akan memberikan kesan positif seperti;
#1 SST Mampu Tingkatkan Hasil Negara & Kurangkan Defisit
Pelaksanaaan inisiatif sebegini dilihat mampu meningkatkan hasil negara sekali gus mengurangkan defisit.
Memetik laman web ASNB, kedudukan fiskal akan menjadi lebih stabil dan kos pinjaman menjadi lebih rendah serta mata wang negara jadi lebih kukuh.
#2 Lebih Banyak Hasil Negara = Rakyat Dapat Manfaat Dengan Lebih Banyak
Bila hasil kerajaan dapat ditingkatkan, sudah pastilah kebajikan rakyat juga akan terjaga.
Seperti objektif yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan mengenai inisiatif ini, hasil SST akan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
#3 Perubahan Dalam Corak Perbelanjaan
Semakan dan peluasan SST ini pastinya akan memberi kesan kepada corak perbelanjaan pengguna lebih-lebih lagi kepada barangan import.
Ada segelintir pengguna mungkin akan menukar corak perbelanjaan mereka dengan beralih kepada barangan tempatan atau yang jauh lebih murah.
Ini kerana semakan dan peluasan SST akan mempengaruhi harga barang tertentu yang mungkin mengalami kenaikan.
#4 Pastikan Golongan Sepatutnya Membayar Cukai
Paling penting, inisiatif sebegini melindungi golongan tertentu dengan memastikan kumpulan yang sepatutnya membayar dan menanggung beban cukai yang lebih banyak.
Contohnya pengenaan cukai perkhidmatan kepada syarikat pembinaan yang menjana pendapatan lebih RM1.5 juta setahun atau institusi pendidikan yang mempunyai yuran tahunan RM60,000 setahun.
Kesimpulannya, semakan dan peluasan cukai SST yang bermula 1 Julai ini sememangnya memberi kesan kepada golongan tertentu termasuklah pengusaha dan pengguna.
Namun menurut kerajaan, objektif utama inisiatif ini adalah bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang sepatutnya dan sistem cukai yang lebih telus.
Jadi, apa pendapat korang dengan langkah semakan dan peluasan SST 1 Julai nanti?
SIARAN MEDIA MOF BERKENAAN SEMAKAN SEMULA KADAR CUKAI JUALAN DAN PELUASAN SKOP CUKAI PERKHIDMATAN SECARA BERSASAR BERKUAT KUASA 1 JULAI 2025
Posted by Kementerian Kewangan on Monday 9 June 2025
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Digesa Teliti Semula Peluasan SST, Tangguh Pelaksanaan Bagi Perubatan Swasta
Source:




