SHAH ALAM – Tindakan Yayasan Kubra memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap keputusan Mahkamah Majistret berhubung pembinaan rumah ibadat di tanah tidak sah di Rawang bukan berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R).
Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili Yayasan itu berkata, tidak timbul isu sensitif tersebut.
Beliau menegaskan, isu berkenaan melibatkan pecerobohan tanah milik Yayasan sedangkan ia akan digunakan untuk pembinaan rumah asnaf.
“Kami percaya mahkamah mendengar hujahan kami dan akhirnya memutuskan untuk membenarkan semakan yang dibuat oleh pemilik tanah.
“Jangan main sentimen 3R untuk mengaburi mata awam kerana ia melibatkan isu pencerobohan.
“Perintah Mahkamah Tinggi hari ini telah menzahirkan bahawa, tiada sentimen 3R berkaitan dengan isu pencerobohan tanah,” kata peguam itu.
Pada Selasa, Yayasan Kubra berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini, untuk mengetepikan keputusan awal Mahkamah Majistret Selayang untuk meneruskan inkuiri aduan pembinaan rumah ibadat di tanah tidak sah, berhubung pertikaian tanah dan kemungkinan pecah keamanan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili Yayasan itu selaku pemohon dan peguam, Rajesh Nagarajan bagi pihak Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman sebagai responden.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil terbabit.
Majistret, Chai Guan Hock kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak yang terlibat dalam pertikaian tersebut hadir ke mahkamah untuk pendengaran inkuiri di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Beliau juga meminta mereka memfailkan kenyataan bertulis berkenaan milikan sebenar terhadap tanah tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan, salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut menurut CPC.
Katanya, salinan perintah perlu dipamerkan di tanah tersebut iaitu di kawasan Rawang Perdana 2.
