
Kota Kinabalu: Datuk Ong Kim Swee memuji semangat dan komitmen anak buahnya ketika Sabah FC mengekalkan permulaan sempurna musim ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Negeri pada Isnin.
Bagaimanapun, ketua jurulatih itu mengkritik keadaan padang yang teruk berikutan hujan lebat bermula pada awal hari yang menjejaskan kualiti permainan.
“Ia bukanlah satu perlawanan yang mudah. Bagi saya keadaan padang tidak sesuai (untuk perlawanan) dengan hujan tanpa henti sejak tengah hari dan saya difahamkan hujan lebat turun pada malam sebelumnya juga.
“Kami mesti memikirkan prestasi pemain yang bermain dalam keadaan sedemikian dan terdapat banyak bola hantaran jauh dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
“Perlawanan malam ini adalah mengenai keinginan dan kesungguhan kedua-dua pasukan dan pemain saya berjaya mempamerkan komitmen yang sangat tinggi untuk bermain dalam keadaan ini,” katanya.
Walaupun padang basah, Sabah FC memulakan perlawanan dengan garang apabila Saddil Ramdani melakukan percubaan tepat ke gawang seawal minit ketiga tetapi usahanya berjaya digagalkan oleh penjaga gol Kuching City FC Julian Garcia Schwarger.
Kebuntuan akhirnya pecah pada minit ke-23 apabila Saddil membuka tirai jaringan selepas menerima hantaran Park Taesu untuk meletakkan Sabah FC di hadapan.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi pemain import mereka, Abu Kamara.
Hujan berterusan pada separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terlepas beberapa peluang untuk menambah satu lagi gol sehingga Telmo Castanheira menjaringkan gol kemenangan Sabah FC pada minit ke-57 hasil hantaran Darren Lok.
Dengan tiga mata, Sabah FC kini berada di tangga kedua dengan sembilan mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang turut memenangi tiga perlawanan berturut-turut tetapi mempunyai perbezaan jaringan lebih baik.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada 12 Mac.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

