Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) meneruskan komitmen dalam memperkasa masyarakat luar bandar melalui pelaksanaan Program Kemasyarakatan dan Program Sehari Bersama Kampung Endah: Menghayati Semangat MADANI, di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025.
Program hari ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPW, Puan Hanani binti Sapit di Dewan Jubli Emas, Kampung Endah, Banting, Selangor, sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat MADANI dan memperkukuh hubungan antara kerajaan serta masyarakat akar umbi.

Kampung Endah dipilih sebagai kampung angkat JPW berdasarkan sejarah, keunikan komuniti, dan kesediaan penduduk untuk bersama-sama menjayakan inisiatif pembangunan masyarakat. Sebanyak 9 projek fizikal dan 1 program kemasyarakatan sedang dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM1 juta. Dua projek telah siap sepenuhnya manakala selebihnya dijangka selesai pada akhir Oktober 2025. Antara projek utama menaik taraf telah direalisasikan bagi memberi manfaat terus kepada penduduk, termasuk penambahbaikan surau, perpustakaan awam, sistem siar raya, taman permainan kanak-kanak, pusat pos dan kemudahan di tanah perkuburan Islam.
Sehingga September tahun ini kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 73%, menunjukkan pelaksanaan berada pada landasan yang baik dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.

Program Sehari Bersama Kampung Endah turut menyajikan pelbagai aktiviti komuniti seperti Festival Makanan Jawa, pertandingan memasak, ekspresi seni kanak-kanak dan tayangan wayang pacak bagi menyemai semangat kekitaan serta memperkukuh jaringan sosial. Selain itu, pelbagai perkhidmatan kerajaan turut dibawa ke Kampung Endah melalui penganjuran ceramah psikologi, program bersama ibu tunggal, gotong-royong perdana serta aktiviti mengecat dewan bagi menggalakkan penyertaan aktif komuniti setempat.
Ketua Pengarah JPW turut menegaskan bahawa pelaksanaan KAM bukan hanya melibatkan pembangunan fizikal, tetapi juga membina jaringan sosial dan memperkukuh nilai kebersamaan masyarakat. JPW komited untuk memastikan manfaat program ini terus dirasai oleh komuniti luar bandar selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Turut dihadiri Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri serta wakil Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri.


