Semangat Mat Kilau Iringi Kejuaraan Pencak Silat Dunia

27 Jul 2022 • 7:26 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kejuaraan berprestij itu merupakan platform terbaik mempromosi budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar. - Gambar Bernama

Kemunculan watak utama filem 'Mat Kilau' lakonan Datuk Adi Putra menghangatkan upacara pembukaan Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19, semalam.

Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) gegak gempita dengan sorakan semangat lebih 500 peserta dari 40 negara yang mengambil bahagian dalam pertandingan selama lima hari bermula esok.

Lontaran monolog Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang dipetik menerusi filem Mat Kilau itu disampaikan dengan  penuh bersemangat sejurus upacara perasmian dilakukan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata silat memainkan peranan besar dalam memastikan budaya anak bangsa ini dapat dikenali di seluruh dunia.

image is not available
Mohd Ali Rustam (duduk dua, kiri) bersama barisan tetamu jemputan menyaksikan perarakan masuk kontinjen pesilat negara pada Majlis Perasmian Pembukaan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam. - Gambar Bernama

Beliau berkata kejuaraan berprestij itu merupakan platform terbaik mempromosi budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

Dalam pada itu, majlis perasmian turut dimeriahkan dengan demontrasi silat oleh para peserta serta kehadiran bekas juara dunia yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Prabowo Subianto berkata, menjadi harapan badan induk sukan itu untuk membawa pencak silat ke arena  Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Penasihat Kehormat PESAKA, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM,) Tan Sri Norza Zakaria. - Bernama