Seorang anggota Bomba bertafakur seorang diri semasa operasi mencari dan menyelamat pada hari kelapan di tapak tanah runtuh Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis
KUALA LUMPUR - Tempoh sembilan hari yang panjang dan menyayat hati dalam misi mencari mereka yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapah perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, berakhir semalam apabila mayat mangsa terakhir membabitkan kanak-kanak lelaki yang hilang ditemui.
Ketua jurugambar Vibes Sairien Nafis merakam detik kegigihan dan usaha dilakukan anggota mencari dan menyelamat, kebanyakannya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam misi sukar itu.
Semasa tugasan kedua di lokasi kejadian memasuki hari kelapan pencarian, dia menyaksikan dengan penuh kagum bagaimana pasukan mencari dan menyelamat masih kekal bersemangat tinggi dan bertungkus-lumus menjejaki budak lelaki berusia 11 tahun di bawah timbunan lumpur tebal.
Hari kelapan misi pencarian pada Jumaat lalu yang bermula seawal jam 8 pagi, terpaksa dihentikan sementara waktu kerana hujan kira-kira jam 5 petang.
Operasi itu hanya bersambung semula pada jam 8 malam hingga tengah malam.
Di sebalik keadaan cuaca yang tidak menentu dan tanah becak serta lembab, dia melihat komitmen yang tidak putus-putus daripada anggota mencari dan menyelamat, termasuk beberapa petugas wanita dan turut tidak ketinggalan, anjing pengesan dari unit K9, gigih bekerja tanpa henti.
Kami amat terkesan dengan bencana ini dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.
Pada masa sama, seluruh negara juga harus menghargai jasa dan berterima kasih kepada wira tidak didendang yang berkhidmat tanpa jemu dengan keazaman tinggi dalam operasi tersebut.
Mangsa terakhir dilaporkan ditemui petang semalam, menjadikan jumlah kematian seramai 31 orang membabitkan 14 wanita, enam lelaki, tujuh kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
The Vibes membawakan kepada anda rakaman detik secara dekat operasi pencarian pada Jumaat lalu, ketika anggota bersungguh-sungguh mencari mangsa terakhir yang dipercayai anak lelaki kepada pengusaha kantin SJK (C) Mun Choong yang berusia 11 tahun. - The Vibes, 25 Disember 2022
Anjing pengesan dari unit K9 bekerja keras dalam apa jua keadaan untuk mencari mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis
Anggota Bomba mencari mangsa terakhir yang hilang, dipercayai seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali yang berlaku pada 16 Disember. - Gambar oleh Sairien Nafis
Jengkaut digunakan untuk membantu pasukan penyelamat pada hari kelapan operasi mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh Batang Kali berhampiran Gohtong Jaya. - Gambar oleh Sairien Nafis
Anggota penyelamat memeriksa bangkai kereta yang musnah akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan yang terletak di Father’s Organic Farm di Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis
Anggota penyelamat menggunakan anak patung beruang yang dipercayai milik mangsa kanak-kanak tragedi tanah runtuh di Batang Kali sebagai motivasi dalam misi menyelamat. - Gambar oleh Sarien Nafis
Seorang anggota bomba berehat sebentar selepas keletihan mencari mangsa terakhir yang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun. - Gambar oleh Sairin Nafis
Pekerja penyelamat bersatu tak kira umur atau jantina dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm. - Gambar oleh Sairien Nafis
Seorang anggota tentera mengisi minyak dalam jengkaut yang digunakan dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm. - Gambar oleh Sairien Nafis
Anggota bomba bersedia untuk berdepan dengan keadaan berlumpur dalam misi mencari mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm. - Gambar oleh Sairien Nafis
Lampu berkuasa tinggi digunakan untuk menerangi tempat operasi pada waktu malam ketika pencarian mangsa disambung semula pada kira-kira jam 8 malam pada hari Jumaat. - Gambar oleh Sairien Nafis
Anggota Bomba dan SMART membawa lampu ke tapak kejadian tanah runtuh untuk menyambung operasi mencari dan menyelamat. - Gambar oleh Sairien Nafis
Dua orang anggota bomba memantau jengakaut mengali tanah untuk mencari mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis
Seorang anggota bomba memeriksa timbunan kereta yang musnah akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis
Anggota penyelamat berdepan dengan keadaan berbahaya dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis
Kerjasama diantara semua agensi penyelamat penting dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali. - Gambar oleh Sairien Nafis