Semarak Syawal 1447@Pasar Tani sasar jualan RM40 juta di seluruh negara

LocalSales & Promo
15 Mar 2026 • 10:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dari kanan, Abdul Rashid, Isa dan Azli melayan pengunjung yang mendapatkan keperluan harian pada harga RM5 menerusi program Jualan Agro Madani
image is not available
Azli (duduk, tiga dari kiri) dan Abdul Rashid (duduk, tiga dari kanan) menunjukkan balang kuih raya yang dijual pada harga murah

SHAH ALAM - Program Semarak Syawal 1447@Pasar Tani yang dilaksanakan di seluruh negara menyasarkan nilai jualan RM40 juta menerusi penganjuran sebanyak 722 siri jualan dalam tempoh enam hari.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, bagi negeri Selangor pula, pihaknya mensasarkan sebanyak 48 lokasi dengan nilai jualan dianggarkan RM2.7 juta.

Beliau berkata demikian selepas Program Pelancaran Semarak Syawal 1447@Pasar Tani Peringkat Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada Ahad.

Program itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, diiringi Abdul Rashid.

Turut hadir Pengarah FAMA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Isa Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd, Rusman Md Lizah.

**media[3463937]**

Abdul Rashid berkata, program berkenaan bermula dari semalam hingga 19 Mac ini melibatkan semua lokasi Pasar Tani di Selangor serta beberapa kawasan utama di Wilayah Persekutuan.

Katanya, antara lokasi utama termasuk Putrajaya, Bangi, Malawati, MAEPS, Stadium Shah Alam dan Kelana Jaya.

“Program ini merupakan program tahunan FAMA yang dianjurkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup di samping memudahkan orang ramai membuat persiapan menyambut Syawal pada harga yang berpatutan.

“Kita campurkan pelbagai jenis produk, namun fokus utama adalah kepada persiapan Syawal termasuk jualan kuih-muih serta penyertaan usahawan kilang yang mengeluarkan produk kuih raya,” katanya.

Beliau berkata, peniaga turut bersetuju mengadakan jualan happy hour dengan diskaun menarik yang membolehkan orang ramai mendapatkan penjimatan antara RM20 hingga RM25 bagi pembelian lima balang kuih raya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, pihaknya turut menganjurkan Jualan Mantai selama 24 jam bermula jam 8 pagi Selasa hingga 8 pagi Rabu di Stadium Shah Alam.

Katanya, menerusi program itu, sebanyak 10 tan daging lembu segar tempatan akan dijual pada harga RM25 sekilogram selepas diskaun kupon RM5 daripada harga asal RM30 sekilogram.

“Kita membawa sebanyak 10 tan daging lembu segar tempatan dan turut melibatkan lima usahawan bagi jualan khas daging serta ayam.

“Saya menyeru warga Selangor khususnya yang berada berhampiran Stadium Shah Alam atau kawasan sekitarnya untuk hadir mendapatkan bekalan daging segar pada harga yang lebih murah,” tambahnya.

View Original Article