
Sembilan Kawasan Rekod Cuaca Panas Pada Tahap Berjaga-Jaga
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan cuaca panas pada Tahap Berjaga-Jaga (Tahap 1).
Dalam kemas kini cuaca itu, kebanyakan lokasi terlibat adalah di negeri-negeri Utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Cuaca Panas Di Semenanjung
"Di Kedah, kawasan yang merekod cuaca panas adalah Kubang Pasu, Baling, Kuala Muda, Kulim, Pokok Sena dan Pendang.
"Manakala di Pulau Pinang pula melibatkan Timur Laut dan Seberang Perai Utara.
"Sementara hanya daerah Kuala Kangsar di Perak yang mencatatkan suhu tahap 1 berkenaan," maklum kenyataan itu.
Maklum MetMalaysia, cuaca panas Tahap berjaga-jaga melibatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.

