Sembilan pelajar terima biasiswa PSSH

11 Jul 2024 • 9:33 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan biasiswa PSSH kepada penerima dalam satu majlis yang diadakan.

Kerajaan negeri (Selangor) menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) menyerahkan biasiswa kepada sembilan penerima di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, PPSH merupakan inisiatif pemberdayaan wanita yang dilaksanakan sejak 2021 dengan 24 penerima telah menerima biasiswa berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 122 permohonan PPSH diterima sejak pembukaan pendaftaran bagi kohort ketiga pada Mac lalu.

"Setelah dua tapisan dilakukan, seramai 21 calon disenarai pendek untuk melalui sesi temu duga sebelum sembilan daripadanya telah dipilih untuk ditawarkan biasiswa PPSH, termasuk dua alumni Akademi Kepimpinan Wanita.

"Program ini menawarkan biasiswa bagi melanjutkan pembelajaran ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) kepada kepada golongan wanita yang berkelayakan di Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan kepada 12 penerima bagi kohort pertama dan 13 penerima membabitkan peruntukan jumlah sama bagi kohort kedua.

Ujarnya, biasiswa ditawarkan mengetengahkan bidang pengajian yang akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi penjagaan di Selangor.

"Antaranya seperti Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pemulihan Carakerja (Kecacatan Perkembangan) dan Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling.

"Bidang ini diberikan perhatian khusus oleh kerajaan negeri kerana menyedari kemajuan ekonomi haruslah dijalankan seiring dengan peningkatan kualiti kehidupan," katanya.

Beliau berharap, penerima tajaan dapat berjaya dalam pengajian seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat dalam bidang masing-masing.