
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menerima rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapinya.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan sembilan pertuduhan lain iaitu membabitkan tiga kes rasuah dan enam AMLA.
Keputusan sebulat suara itu disampaikan tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said.
Turut bersidang dalam prosiding terbabit ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Peguam, Amer Hamzah Arshad berkata, Mahkamah Rayuan membatalkan empat pertuduhan atas alasan memprejudiskan Abdul Azeez kerana tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung lokasi kesalahan itu.
Beliau berkata dalam empat pertuduhan di bawah penggubahan wang haram tersebut dikatakan kononnya dilakukan di sekitar Lembah Kelang.
"Keempat pertuduhan tersebut telah memprejudiskan Abdul Azeez kerana kononnya dikatakan kesalahan dilakukan di sekitar Lembah Kelang.
"Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa maklumat tersebut terlalu umum, selain itu Mahkamah Rayuan turut menimbulkan persoalan mengapa pihak penyiasat tidak dapat memeberikan maklunat tepat iaitu lokasi berkaitan empat kesalahan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di perkarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya di sini pada Isnin.
Katanya, empat pertuduhan tersebut dibatalkan bagaimanapun pertuduhan yang lain diputuskan perlu dibawa semula ke Mahkamah Sesyen.

