Sembur cat hitam pada lif, penghuni digesa lebih bertanggungjawab

18 Oct 2026 • 11:19 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sembur cat hitam pada lif, penghuni digesa lebih bertanggungjawab

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggesa penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya lebih bertanggungjawab menjaga kemudahan awam susulan perbuatan vandalisme yang mencemarkan dinding lif di kawasan kediaman.

DBKL dalam satu hantaran berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja mencacatkan persekitaran kediaman, malah mengundang kos pembersihan dan pembaikan yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk keperluan lain.

“Menyediakan persekitaran kediaman yang selesa, selamat dan terpelihara sentiasa menjadi antara keutamaan pihaknya dalam meningkatkan kesejahteraan warga PPR.

“Sehubungan itu, pelbagai usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan dilaksanakan bagi memastikan penghuni dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya di sini hari ini.

Dalam hantaran itu, DBKL turut berkongsi rakaman televisyen litar tertutup yang memaparkan seorang lelaki menyembur cat berwarna hitam di dalam sebuah lif.

Katanya, amat mendukacitakan apabila kemudahan yang disediakan untuk keselesaan bersama dicemari dengan perbuatan vandalisme.

“Hakikatnya, yang menjadi mangsa bukan sekadar kemudahan, tetapi seluruh komuniti yang menggunakannya setiap hari.

“DBKL berharap setiap penghuni memainkan peranan sebagai penjaga kemudahan bersama. Tegurlah perbuatan yang salah, pupuklah rasa tanggungjawab dan didiklah generasi muda untuk menghargai setiap kemudahan yang disediakan,” katanya.

DBKL mengingatkan bahawa, kemudahan yang baik memberikan keselesaan, tetapi sikap yang baik memastikan keselesaan itu berkekalan.

“Kediaman yang sejahtera bukan hanya bergantung pada apa yang disediakan, tetapi juga bagaimana kita bersama-sama menghargai dan memeliharanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sembur cat hitam pada lif, penghuni digesa lebih bertanggungjawab appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved