

Seminar Sejarah Alam Semula Jadi 2024, Fahami Lebih Mendalam Tentang Perubahan Taksonomi Kuno
Kuala Lumpur, 17 Oktober 2024 – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Alam Semulajadi telah menganjurkan Seminar Sejarah Alam Semula Jadi 2024 yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim bertempat di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2024.
Penganjuran seminar ini bertujuan untuk menyampaikan dan menyebarluas dapatan pakar-pakar dalam bidang ilmu sains taksonomi yang berkaitan dengan evolusi, pengecaman, pengelasan (klasifikasi), pembezaan dan penamaan spesies, genus dan famili sesuatu organisma sama ada mikroorganisma haiwan mahupun tumbuhan.
Yang Berbahagia Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim dalam ucapannya berkata, “Muzium dan ilmu taksonomi ini tidak boleh dipisahkan dan saling bersimbiosis, ini adalah kerana segala bukti fizikal tentang kepelbagaian spesies organisma flora dan fauna ini disimpan dan dipamerkan di semua Muzium Alam Semulajadi hampir di seluruh dunia. Manakala para ahli taksonomi menjadikan muzium sebagai gedung untuk mengkaji dan menyelesaikan isu berkaitan pengenalpastian sesuatu organisma.”

Sesi seminar dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim. Manakala barisan panel terdiri daripada YBrs. Prof. Dr. Abdurezak Abdullah Hashi dari Kuliyyah Sains UIAM, Dr. Nor Saadah binti Md Nor dari Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi UIAM dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Mohamed Abdul Majid, Mantan Dekan Fakulti Sains Universiti Malaya & Universiti Brunei, Felo Akademi Sains Malaysia & Linnean Society.

Dapatan yang dikongsikan oleh para panel dalam forum ini membolehkan pengamal muzium, para ahli bidang dan masyarakat memahami dengan lebih mendalam berkaitan perubahan taksonomi kuno kepada moden, sejarah perkembangannya di negara kita serta isu yang meliputi bidang yang kian dipinggirkan ini walaupun ia adalah komponen asas yang penting dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti.
The post Seminar Sejarah Alam Semula Jadi 2024, Fahami Lebih Mendalam Tentang Perubahan Taksonomi Kuno appeared first on Siakap Keli.

![Mat Salleh Dah Menetap 20 Tahun Dedah Kenapa Terengganu Jadi Pilihannya [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/travel.jpeg)
