'Semoga ada sinar baharu buat kami'

3 Oct 2026 • 7:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Semoga ada sinar baharu buat kami'
Sivakumar tidak dapat menahan sebak selepas sesi taklimat yang berlangsung di Wisma Putra, Ahad lalu. Foto: Bernama

SHAH ALAM - "Besar harapan semoga ada sinar baharu juga buat kami dan keluarga yang lain."

Demikian luahan suami Kalai Mathe Karuppaiah, 57, seorang daripada 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir di Nepal Ogos lalu.

Sivakumar Kalimuthu, 57, berkata, perkhabaran mengenai seorang rakyat Malaysia yang hilang ditemukan selamat dan sudah pulang ke tanah air pada Jumaat turut memberi sedikit kelegaan kepada waris lain yang turut menanti.

Ujarnya, perkembangan itu menunjukkan tidak mustahil kesemua rakyat Malaysia yang hilang itu akan ditemui selamat walaupun sudah 37 hari berlaku tanpa khabar berita.

"Saya tumpang gembira dengan perkhabaran yang baik ini kerana akhirnya penantian keluarga itu sudah berakhir. Sekarang tinggal kami sahajalah yang masih menanti dan berharap ada berita menggembirakan.

"Walaupun sudah 37 hari berlalu tetapi harapan kami tidak pernah luntur. Kami harap ada perkembangan yang baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharu, Sivakumar berkata, keluarga terlibat telah menghadiri satu taklimat daripada Kementerian Luar di Wisma Putra, Putrajaya, Ahad lalu.

Sementara itu, isteri kepada salah seorang rakyat Malaysia yang masih hilang turut berharap agar ada keajaiban buat ahli keluarga lain yang masih menunggu.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun bersedia apa sahaja kemungkinan.

"Saya masih berharap ada perkara yang baik-baik. Setidaknya kami mahu barang-barang peribadi suami saya ditemui seperti dompet.

"Barang-barang itu setidaknya menjadi bukti. Bukan sebagai penutup kepada penantian tetapi satu kepastian buat kami yang masih menaruh harapan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved