Sempat alih kereta sebelum banjir kilat landa Shah Alam

LocalEnvironment
4 Nov 2026 • 12:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sempat alih kereta sebelum banjir kilat landa Shah Alam

SHAH ALAM – Dentuman kilat dan guruh yang kuat sehingga menyebabkan dinding rumah terasa bergegar serta gangguan bekalan elektrik beberapa kali mencetuskan kerisauan penduduk sekitar Seksyen 13 di sini malam tadi.

Hujan lebat yang berterusan turut mengakibatkan banjir kilat apabila air mula naik di kawasan parkir terbuka di hadapan pusat beli-belah Giant, selain beberapa kawasan kediaman termasuk apartment dilaporkan dinaiki air.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Seksyen 13 dan kawasan berhampiran mendapati keadaan banjir menyebabkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menyelamatkan kenderaan masing-masing.

Malah, penduduk turut memaklumkan terdengar bunyi siren amaran di sungai berhampiran sekitar pukul 11 malam dipercayai sebagai peringatan berhubung kejadian banjir.

Seorang penduduk, Hakim, 24, berkata, dia pada mulanya tidak menyangka hujan lebat berkenaan akan menyebabkan banjir kerana ketika itu sedang bermain permainan video.

“Pada mulanya saya buat biasa sahaja kerana tidak sangka air akan naik dengan cepat. Mujur sempat alihkan kereta ke tempat lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Firdaus berkata, kejadian banjir berkenaan merupakan pengalaman pertama sepanjang tiga tahun menetap di Apartment Perdana.

Menurutnya, dia sempat mengalihkan kereta jenis Perodua Ativa miliknya sebelum air semakin meningkat.

“Nasib baik sempat alihkan kereta. Saya juga minta orang ramai membantu menolak kenderaan ke kawasan lebih tinggi dengan meredah air kerana bimbang kereta yang ditenggelami air tidak boleh dihidupkan semula,” katanya.

Selain itu, laluan motosikal yang menghala ke Kuala Lumpur dari Shah Alam turut ditutup kepada pengguna susulan keadaan banjir yang berlaku.

Penutupan laluan berkenaan menyebabkan penunggang motosikal perlu mencari laluan alternatif atau menggunakan laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan. – KOSMO! ONLINE

The post Sempat alih kereta sebelum banjir kilat landa Shah Alam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved