
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap yang bergelar ibu bapa pastinya akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan nyawa anak yang disayangi.
Meskipun nyawa sendiri menjadi pertaruhan perkara itu tetap akan dilakukan asalkan anak tidak berada dalam keadaan bahaya.
Bapa dilaporkan masih hilang selepas selamatkan anak perempuan jatuh dalam sungai
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang bapa yang juga juruteknik elektrik di Kelantan yang dilaporkan hilang selepas berjaya menyelamatkan anak perempuannya berusia 11 tahun yang tergelincir ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Sat, Tanah Merah pada petang semalam (25 Ogos).
Lelaki dikenali sebagai Mohd. Saifuldin Ramli, 46, dilaporkan sempat bermain layang-layang bersama empat orang anaknya sebelum kejadian sekitar jam 6.15 petang berlaku.
Sehingga kini, Saifuldin masih lagi belum dijumpai dan hilang hampir 19 jam di sungai berkenaan.
Jelas ibu mangsa, Zaharah Ahmad, 75, Saifuldin telah membawa empat anaknya yang berusia enam sehingga 11 tahun ke sungai terbabit untuk bermain layang-layang pada jam 6 petang.
Kata si ibu, sebelum ini Saifuldin tidak pernah membawa anak-anaknya ke sungai berkenaan.
“Atas permintaan anak-anak, dia membawa mereka ke tepi sungai itu untuk bermain layang-layang yang dibeli dari sebuah kedai di kampung kami.
“Dia ada memaklumkan bahawa mahu pergi ke sungai bersama anak-anak. Anak perempuannya yang berusia 11 tahun tergelincir ke dalam sungai semasa bermain layang-layang dan Saifuldin sempat menyelamatkan cucu saya, namun dia pula yang lemas,” ujar warga emas itu, lapor Kosmo.
Isteri bergegas ke tempat kejadian selepas terima maklumat suami lemas
Ibu mangsa turut memaklumkan isteri anaknya, Nurfadlina Mohamad turut bergegas ke sungai tersebut yang jaraknya sekitar 300 meter dari rumah mereka sebaik menerima maklumat anaknya itu lemas.
Dalam pada itu, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyemat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Rosmaidi Baharuddin memaklumkan operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan dalam radius 200 meter dari lokasi Saifuldin dilaporkan lemas.
Jelasnya lagi, seramai lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor telah melakukan selaman sejak jam 9 pagi tadi.
Kata Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah mengesahkan Saifuldin masih lagi belum ditemui dan operan pencarian masih diteruskan.
Source:



![Semua Pelanggan Berdiri Sejurus Dengar Lagu Negaraku Di Restoran Raih Pujian [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)