
Kota Kinabalu: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menegaskan bahawa semua balai dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), wajib menerima sebarang laporan yang dibuat oleh orang ramai.
Peringatan itu dibuat berikutan kegagalan anggota bertugas di Labuan melaksanakan arahan tersebut, selepas kejadian tular melibatkan seorang wanita yang mendakwa ditampar oleh seorang individu baru-baru ini.
Jelas Jauteh, selepas laporan dibuat barulah pihak polis boleh mengklasifikasikan kejadian tersebut ada unsur jenayah atau sebaliknya.
“Kita telah berulang kali membuat teguran bahawa mana-mana individu yang membuat laporan polis, adalah satu kewajipan kepada semua balai, IPD ataupun Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menerima apa saja bentuk laporan polis berkenaan.
“Kita terima dulu, barulah kita klasifikasikan laporan itu dari aspek sama ada mempunyai unsur jenayah atau tidak, ataupun kita sesuaikan laporan polis itu dengan tempat di mana berlaku kejadian jenayah,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa.
Menurut Jauteh, kegagalan mematuhi arahan tersebut menyebabkan tindakan bukan sahaja diambil terhadap anggota bertugas, tetapi juga pegawai atasan.
“Bukan saja anggota yang tidak mengambil laporan itu yang diambil tindakan, tetapi juga Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai sebab mereka gagal menyampaikan arahan,” tegasnya.
Isu ini timbul selepas wanita berumur 28 tahun itu mendakwa laporan yang dibuatnya tidak mendapat tindakan segera, mencetuskan perbincangan hangat di media sosial. Kejadian itu berlaku di tepi Jalan Tun Mustapha, Labuan, pada Jumaat lalu, di mana seorang lelaki dipercayai memandu secara melulu sebelum berlaku pertengkaran dengan wanita itu, yang kemudiannya mendakwa ditampar.
Kedua-dua pihak membuat laporan di Balai Polis Labuan dan kes dirujuk ke bahagian siasatan, namun wanita itu tidak puas hati dengan penyelesaian yang dicadangkan, mendakwa dia belum menerima maklum balas daripada pihak polis.
Susulan itu, siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap pegawai yang gagal memastikan laporan polis mangsa diambil seperti sepatutnya.

