Semua Dijemput Hadir Meriahkan Rumah Terbuka Malaysia MADANI Di 6 Negeri

23 Apr 2023 • 9:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rumah Terbuka Malaysia MADANI Bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 akan dimulakan di Kedah pada 29 April ini sebelum ke lima negeri lagi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan mengadakan siri Rumah Terbuka Malaysia MADANI Bersama Perdana Menteri sempena Aidilfitri pada April serta Mei ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, majlis itu akan berlangsung di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu serta Selangor.

Katanya, majlis bermula di Kedah itu akan diadakan Hotel Raia, Bandar, Alor Setar pada 29 April ini bermula 10 pagi hingga 2 petang.

“(Ia akan diadakan) Di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 6 Mei (11 pagi hingga 2 petang).

“(Kemudian), Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Jalan Yam Tuan, Seremban, Negeri Sembilan keesokannya (7 Mei) (11 pagi hingga 2 Petang).

“Majlis itu akan turut diadakan di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada 14 Mei depan (8 malam hingga 11 malam),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

image is not available

Menerusi jadual dikongsikan Fahmi itu, selain Kedah, majlis terbabit akan diadakan di dua negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN), iaitu Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, di Kelantan, majlis itu akan berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 12 Mei (7 petang hingga 10.30 malam).

Manakala di Terengganu, katanya, ia akan diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Kuala Terengganu.

“Semua dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI.

“Semoga Syawal ini memberi peluang untuk saling bermaafan, di samping mengeratkan lagi silaturahim sesama kita,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata, penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri sempena Aidilfitri 2023 di Kedah, Kelantan dan Terengganu, membuktikan konteks kebersamaan antara kerajaan Persekutuan serta negeri masih wujud.

Beliau memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah mengenai majlis tersebut dan sudah menerima surat daripada kerajaan Persekutuan dengan hati terbuka.

“Kelantan menghormati keputusan kerajaan Persekutuan untuk mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula 7 malam hingga 10.30 malam pada 12 Mei depan.

“Kesemua persiapan tersebut dilakukan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai kementerian peneraju,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kelantan di Kampung Alor Pasir dekat Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri tidak akan mengadakan Rumah Terbuka sempena Aidilfitri 2023 di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Sementara itu, The Vibes melaporkan, enam negeri berkenaan dijangka mengadakan pilihan raya sebelum September ini, memandangkan kerajaannya tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen tahun lalu bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada November.

Justeru, pengkritik menuduh Anwar menggunakan rumah terbuka Aidilfitri di negeri berkenaan, sebagai satu bentuk kempen pilihan raya, namun Perdana Menteri menafikannya. – Getaran, 23 April 2023