Semua salah komunis, kata Mahathir

Opinion
10 May 2025 • 9:00 AM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Kredit Imej: Finance Twitter / Bernama

Terdapat sesuatu yang pelik tentang dakwaan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru- baru ini bahawa kontroversi yang melibatkan akhbar berbahasa Cina tempatan mencetak bendera negara tanpa bulan sabit dan kesilapan Kementerian Pendidikan memaparkan versi bendera yang tidak lengkap dalam laporannya mengenai peperiksaan SPM adalah hasil daripada usaha yang disengajakan untuk melemahkan peranan Islam dalam negara.

“Ini dilakukan dengan sengaja, bukan satu kesilapan. Ia memang disengajakan untuk menunjukkan bahawa tiada simbol Islam pada bendera kita.

“Jadi bulan sabit itu dibuang dan hanya bintang yang dikekalkan,” katanya dalam satu podcast.

Yang lebih menghairankan, Mahathir mengaitkan insiden ketiadaan bulan sabit itu dengan kontroversi terdahulu yang melibatkan stokin yang dicetak dengan perkataan “Allah”, untuk mencadangkan bahawa wujud satu konspirasi besar untuk melemahkan Islam di negara ini.

“Saya tidak percaya itu satu kesilapan juga. Ia bukan satu suatu yang tidak disengajakan. Mengeluarkan bulan dari bendera bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi dilakukan dengan sedar. Dan tentang cetakan ‘Allah’ pada stokin, kita pakai stokin di kaki.

“Kita berjalan dan memijak dengan kaki. Jadi meletakkan nama Allah pada stokin dan kemudian memijaknya, itu disengajakan,” kata Mahathir, seolah-olah ingin mengemukakan teori bahawa terdapat kumpulan dalam negara yang sengaja cuba melemahkan kedudukan Islam di Malaysia.

Jika anda menahan nafas menantikan siapa yang dituduh Mahathir sebagai dalang di sebalik kontroversi ini, anda boleh menarik nafas lega, kerana yang dipersalahkan Mahathir adalah kumpulan komunis.

“Ada keinginan untuk menjadikan Malaysia kelihatan seperti negara komunis,” kata Mahathir, dalam apa yang dilihatnya sebagai usaha yang sengaja dan terancang untuk melemahkan Islam di negara ini.

“Kalau kita tengok, ada negara-negara yang hanya guna bintang dalam bendera mereka, terutama negara komunis.

“Mereka hanya letak bintang, satu besar, empat kecil. Semua negara komunis guna bintang. Jadi mungkin ada keinginan untuk menjadikan Malaysia kelihatan seperti negara komunis. Bukannya kita tak tahu. Memang jelas,” tambah Mahathir lagi, seolah-olah ia adalah rahsia yang di ketahui umum bahawa komunis kini cuba menyusup masuk ke Malaysia dan melemahkan Islam.

Apa pun, walaupun saya tidak tahu kenapa minda Mahathir yang berusia 100 tahun itu melihat bayang-bayang komunis di mana-mana, saya sekurang-kurangnya bersyukur kerana Mahathir tidak menyalahkan mana-mana pihak tempatan dalam usahanya menyebarkan pandangan bahawa ada pihak yang cuba merendah-rendahkan Islam di negara ini.

Dulu mungkin pernah ada golongon komunis dalam negara kita, tetapi hari ini, saya meragui ada sesiapa pun yang masih komunis di Malaysia.

Pemberontakan komunis di negara kita semasa era Perang Dingin dahulu sering dikaitkan dengan aspirasi politik masyarakat Cina di Malaysia, tetapi hari ini, masyarakat Cina di Malaysia boleh dikatakan adalah sepenuhnya kapitalis. Bukan sahaja mereka sepenuhnya kapitalis, malah daripada semua kumpulan identiti di Malaysia, saudara-saudari Cina kita mungkin yang terpaling kapitalisme, jadi kita tidak perlu risau bahawa Mahathir — yang terkenal dengan tuduhan-tuduhan melulunya terhadap kaum bukan Melayu — sedang cuba menyabitkan masyarakat Cina dalam negara kita dalam teori konspirasinya mengenai “usaha untuk melemahkan Islam melalui stokin KK Mart dan bendera Sin Chew Daily yang kehilangan bulan sabit.”

Jika anda tanya saya, saya sebenarnya syak bahawa tuduhan Mahathir secara tiba-tiba terhadap penyusupan komunis dalam negara mungkin ada kaitan dengan hubungan erat yang sedang dibina antara Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kita dengan negara China — negara komunis paling terbesar dan paling berpengaruh di dunia hari ini.

Fakta bahawa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong kita telah diberi sambutan yang begitu meriah ketika melawat China, mungkin mengganggu perasaan Mahathir, kerana ketika beliau melawat China pada tahun 2019 semasa tempoh kedua beliau sebagai Perdana Menteri, sambutannya jauh lebih hambar.

Bahawa Beijing kelihatan begitu menghargai hubungan dengan PMX Anwar — musuh ketat Mahathir — sehinggakan Malaysia menjadi antara negara pertama yang dilawati Presiden Xi Jinping dalam lawatan berprofil tinggi selepas China terjerumus dalam perang perdagangan dengan Amerika, mungkin membuka semula luka lama dalam ego Mahathir.

Jadi seperti musang yang mengganggap anggur yang tidak dapat dicapainya itu masam, Mahathir pun tampil dalam podcast dan mendakwa bahawa komunis, mungkin dari China, sedang cuba melemahkan Islam di Malaysia, seolah-olah mereka kerja lain, sedangkan mereka sedang bergelut dalam perang perdagangan yang sengit dengan Amerika, yang dikatakan ramai akan mengubah memberi impak yang besar di seluruh dunia.

Apa pun, oleh kerana Mahathir telah mengemukakan satu teori konspirasi tentang bagaimana komunis sedang cuba melemahkan Islam di negara ini, saya juga ingin mengemukakan satu lagi teori konspirasi — bahawa Amerika mungkin sedang cuba menjatuhkan kerajaan kita, kerana tidak senang dengan hubungan rapat kita dengan China.

Amerika, seperti yang diketahui umum, memang terkenal dengan usaha menjatuhkan kerajaan asing yang dianggapnya “tidak mesra” –agensi-agensi perisikan mereka seperti CIA telah terlibat dalam aktiviti menukar rejim di seluruh dunia selama beberapa dekad.

Dalam perang perdagangan dengan China, kemungkinan besar Amerika tidak akan menyerang China secara langsung terlebih dahulu – sebaliknya, mereka mungkin akan menyerang negara-negara kecil yang menyokong China, untuk melemahkan China dan memberi amaran kepada negara lain tentang akibat menyebelahi China dan menentang Amerika.

Malaysia, seperti yang kita semua tahu, mempunyai beberapa kelemahan serius yang boleh dieksploitasi oleh kuasa besar seperti Amerika untuk menjatuhkan kerajaan kita yang mesra China. Ketegangan kaum dan agama adalah salah satunya. Pemimpin dan ahli politik yang korup yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa atau mengelakkan hukuman adalah satu lagi.

Sukar untuk difahami mengapa Mahathir mengaitkan komunis dengan keinginan untuk melemahkan Islam, sedangkan sebagai seorang yang sangat berpengalaman dan banyak merantau, beliau sepatutnya tahu bahawa agama diamalkan secara bebas di negara komunis sama seperti di negara kapitalis seperti Malaysia.

Komunisme dan kapitalisme adalah ideologi sekular – jika Mahathir tidak pernah melihat kapitalisme sebagai ancaman kepada Islam kerana sifat sekularnya, sukar untuk memahami mengapa beliau mengaitkan komunisme dengan niatnya untuk melemahkan Islam.

Apa pun, memandangkan keadaan dunia yang semakin tidak menentu, mungkin kita patut fikirkan semula untuk menghidupkan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bagi menghalang kuasa asing daripada menggunakan ahli politik tempatan yang korup dan terkompromi sebagai alat untuk mencetuskan kekacauan di kalangan rakyat, dengan mencampuradukkan pelbagai isu, demi menjatuhkan kerajaan yang dilihat lebih mesra China berbanding Amerika.


TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.