Semua Taman Tema Akan Dipantau Rapi, Pastikan Patuh SOP - Exco

LocalTravel
4 Feb 2025 • 3:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar - Tourism Selangor

SHAH ALAM -  Semua pengendali tapak pelancongan di Selangor bertanggungjawab dalam memastikan produk mereka memiliki standard keselamatan yang tertinggi untuk pengunjung.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, beberapa insiden yang berlaku di SkyCity, iCity di sini perlu dijadikan pengajaran.

Menurut beliau, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah sewajarnya dengan mengeluarkan beberapa kompaun dan notis amaran kepada operator terlibat, sebelum kawasan tersebut dibuka kepada umum.

“Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh dan menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan dan memastikan operator produk pelancongan di Selangor mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Pihak SkyCity juga disarankan untuk mengambil langkah penambahbaikan serta memperketat protokol keselamatan sebelum dibenarkan beroperasi semula”, katanya. 

Isu keselamatan pengunjung di SkyCity menjadi perbahasan hangat di platform media sosial susulan beberapa insiden yang membimbangkan.

Berikutan itu, taman terbabit telah dihentikan operasinya kerana sejak awal lagi ia tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa. 

Dalam perkembangan berkaitan, Tourism Selangor memberitahu, keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan dalam industri pelancongan negeri itu. 

Jurucakap Tourism Selangor berkata, mereka mengambil maklum tentang kejadian yang telah terjadi di Taman Tema SkyCity dan akan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pelancong.

“Tourism Selangor dan kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengukuhkan usaha pemantauan dan memastikan semua tapak pelancongan mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.

“Tourism Selangor komited untuk menyediakan maklumat pelancongan yang tepat dan mempromosi produk pelancongan yang berlesen melalui laman web rasmi Tourism Selangor atau melalui platform media sosial kami,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, kerajaan negeri akan memanggil semula pihak pengurusan taman tema tersebut dan operasinya akan dihentikan serta merta sehingga operator terbabit dapat memenuhi spesifikasi ditetapkan MBSA. 

“Kerajaan negeri juga akan mengambil kira aspek keselamatan yang perlu dipatuhi oleh operator taman-taman tema di seluruh negeri,” katanya. - Getaran, 4 Februari 2025