
BENTONG: Kewujudan Sena Specialist Hospital Bentong mampu memperkukuh akses masyarakat setempat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti menerusi penyediaan pelbagai bidang kepakaran dan kemudahan diagnostik moden.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, perkembangan sektor kesihatan di daerah ini perlu terus diberi perhatian bagi memastikan masyarakat setempat memperoleh akses rawatan yang sewajarnya dengan lebih mudah, cepat dan berkualiti.
“Dengan adanya kemudahan dan perkhidmatan kepakaran yang lebih dekat, masyarakat Bentong dan kawasan sekitarnya tidak semestinya perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan tertentu,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke hospital berkenaan di sini semalam.
Dalam lawatan itu, beliau diberikan taklimat tentang perkembangan operasi, kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan Sena Specialist Hospital Bentong daripada Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Tan Ching Haw.
Sena Specialist Hospital Bentong mula beroperasi pada 10 Ogos lalu dengan kapasiti sebanyak 30 katil dan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran termasuk Ortopedik, Kardiologi, Perubatan Dalaman, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pediatrik serta Obstetrik dan Ginekologi.
Hospital itu turut dilengkapi dengan kemudahan diagnostik moden termasuk MRI 1.5 Tesla, Imbasan CT 128-slice, Mammogram dan X-Ray Digital, manakala perkhidmatan pakar Oftalmologi serta Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat.
Menurut Mohamad Zaini, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan perkembangan semasa dan keperluan masyarakat dalam aspek perkhidmatan kesihatan dikenal pasti dengan lebih dekat.
“Keutamaan kita adalah rakyat. Apa juga usaha dan pembangunan yang dilaksanakan perlu akhirnya memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Dalam soal kesihatan, kita mahu rakyat memperoleh perkhidmatan dan rawatan yang sewajarnya dengan mudah, berkualiti serta sedekat mungkin dengan tempat tinggal mereka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan serta seluruh warga Sena Specialist Hospital Bentong atas sambutan mesra dan kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan tersebut. – UTUSAN
The post Sena Specialist Hospital perkukuh akses kesihatan rakyat Bentong appeared first on Utusan Malaysia.
