'Senang isteri nak kutip pahala...' - Fazley Yaakob kongsi resipi cekodok pisang simple buat bekal suami, netizen terhibur & mengimbau kenangan

FoodFamily & Parenting
17 Aug 2026 • 4:45 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Senang isteri nak kutip pahala...' - Fazley Yaakob kongsi resipi cekodok pisang simple buat bekal suami, netizen terhibur & mengimbau kenangan

BERMULA dengan permintaan yang nampak ringkas, isu cekodok pisang tiba-tiba menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

Apa yang pada sesetengah orang dianggap sebagai permintaan kecil daripada bakal suami, bagi sebahagian yang lain pula mengundang persoalan tentang pembahagian tanggungjawab dan cara pasangan saling menghargai dalam rumah tangga.

Lebih menarik, perbincangan itu tidak terhenti pada soal menyediakan makanan semata-mata. Ada yang menganggap memasak untuk pasangan sebagai tanda kasih sayang, malah boleh menjadi satu bentuk ibadah, manakala ada juga yang berpendapat suami perlu sama-sama membantu termasuk menyediakan bahan dan menanggung kos.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian personaliti dan cef, Datuk Fazley Yaakob, yang tampil memberikan pandangan bersahaja mengenai permintaan tersebut.

Menerusi perkongsian di media sosial, Fazley berseloroh bahawa jika benar suami meminta dibekalkan cekodok setiap hari, perkara itu sebenarnya tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan.

Menurutnya, hidangan berkenaan jauh lebih mudah disediakan berbanding sajian yang memerlukan kemahiran dan bahan lebih rumit seperti Beef Wellington atau French butter croissant.

“Kalau betullah suami minta dibekalkan cekodok hari-hari, memang senanglah si isteri nak dapat pahala.

“Tak susah pun nak buat, melainkan suami minta Beef Wellington atau French butter croissant,” katanya secara berseloroh.

Image from: 'Senang isteri nak kutip pahala...' - Fazley Yaakob kongsi resipi cekodok pisang simple buat bekal suami, netizen terhibur & mengimbau kenangan

Usaha dalam rumah tangga

Namun begitu, bapa kepada empat cahaya mata itu turut menekankan tentang usaha dalam rumah tangga seharusnya datang daripada kedua-dua pihak.

“Cumanya, suami kenalah pandai ambil hati isteri juga. Hari-hari siapkan dulu enam biji pisang masak, dua cawan tepung gandum, tiga sudu besar gula, garam sedikit, satu sudu teh soda bikarbonat dan minyak jangan lupa.

“Barulah sama-sama sweet! Suami siapkan bahan, isteri bancuh, goreng dan bekalkan,” ujarnya.

Perkongsian itu meraih perhatian warga maya dan mengundang pelbagai komen daripada pengikut Fazley. Ada yang mengusik personaliti berkenaan, selain menyifatkan perkongsian tersebut sebagai pendekatan yang cukup 'sweet' dalam rumah tangga.

“Bila MasterChef dah bersuara, siap pakej resipi, maka isteri-isteri atas muka bumi ini kena siap-siap beli pisang. Esok kita buat bagi suami tercinta makan.”

“Okey Datuk dah pandai sweet-sweet sampai kami kena tersengih-tengih tengok Datuk dengan Datuk Seri Vida. Apa ini, Datuk?”

“Ada tu, jap lagi scene suap-suap cekodok.”

“Ah... sampai ketua chef dah bagi resipi.”

“Tak faham dah Datuk. Cuba videokan posting ini dengan DSV.”

Image from: 'Senang isteri nak kutip pahala...' - Fazley Yaakob kongsi resipi cekodok pisang simple buat bekal suami, netizen terhibur & mengimbau kenangan

Bagaimanapun, tidak semua komen sekadar gurauan. Ada pengikut yang melihat isu tersebut daripada sudut kehidupan sebenar, terutama apabila melibatkan kos membeli bahan dan beban menyediakan makanan.

“Ya betul. Ada isteri yang kena beli semua bahan menggunakan duit sendiri. Isteri pun bukan banyak duit, banyak komitmen lain. Suami kalau tiada duit, tidak mengapa makan apa yang ada. Kalau banyak duit tetapi kedekut macam mana pula? Sekurang-kurangnya berikan duit untuk beli bahan-bahan. Nak buat Beef Wellington hari-hari pun boleh kalau bahan dan duit suami sediakan.”

Ada juga yang bersetuju bahawa menyediakan makanan untuk suami boleh menjadi salah satu bentuk kasih sayang dalam rumah tangga.

“Betul... bila dah jadi suami, senang isteri nak kutip pahala.”

“Isteri bagi air minum untuk suami pun dah banyak pahala yang isteri boleh dapat, apatah lagi masakan untuk suami.”

Cekodok pisang, kenangan bersama insan tersayang

Menariknya, perkongsian tersebut turut mengundang komen daripada warga maya yang mengimbau kenangan bersama pasangan masing-masing.

Ada yang mengaitkan air tangan isteri dengan kebahagiaan, manakala sebahagian lagi berkongsi memori bersama pasangan yang telah pergi buat selama-lamanya.

“Air tangan isteri memang membawa kebahagiaan... contohnya macam saya. Tapi itulah, ALLAH lebih sayangkan dia.”

“Arwah suami suka makan cekodok pisang dan cekodok bawang. Tinggal kenangan.”

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan mencuba resipi tersebut sendiri, biarpun belum mempunyai pasangan untuk dibekalkan makanan.

“Bagus Datuk, siap bagi resipi. Esok saya nak buat cekodok pisang, tapi untuk makan diri sendiri. Nak buat untuk suami, tak ada suami lagi. Hmm, sedih.”

Apa pun pandangan masing-masing, isu cekodok pisang ini secara tidak langsung membuka ruang untuk melihat semula soal kecil dalam rumah tangga.

Kadangkala bukan soal siapa yang wajib memasak atau siapa yang perlu menyediakan makanan, tetapi sejauh mana pasangan sanggup berkongsi tugas, mengambil berat dan menghargai usaha satu sama lain.

Mungkin benar, cekodok hanya makanan biasa. Tetapi apabila dibuat dengan air tangan dan hati yang ikhlas, perkara kecil itulah yang boleh menjadi kenangan manis dalam sesebuah rumah tangga.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved