Senarai Jemaah Menteri MADANI Hampir Dimuktamad

LocalPolitics
3 Dec 2025 • 8:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memuktamadkan senarai Menteri dan Timbalan Menteri bagi Kerajaan MADANI selepas melalui proses penelitian yang penuh berhati-hati, berasaskan kepentingan rakyat serta agenda reformasi nasional.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, keputusan itu akan mengambil kira keperluan kesinambungan dasar serta pengukuhan pentadbiran.

“Perdana Menteri akan memutuskan senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan MADANI selepas satu proses yang teliti dan berhemah, benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat dan hala tuju reformasi negara,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Anwar turut mengalu-alukan pelantikan semula tiga Senator bagi penggal kedua, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Perdana Menteri mengalu-alukan pelantikan semula Saifuddin, Zambry Abdul Kadir dan Mohd Na’im sebagai ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, berkuat kuasa hari ini.

“Pelantikan ini membolehkan mereka meneruskan tugas penting bagi kesinambungan dasar, tadbir urus serta reformasi nasional selaras dengan visi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, ketiga-tiga Menteri berkenaan mengangkat sumpah sebagai Senator untuk melanjutkan perkhidmatan mereka dalam Kabinet. 

Upacara itu disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pelantikan semula ini dibuat ketika beberapa jawatan Kabinet masih menunggu pengisian, termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang sebelum ini disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut diberikan tanggungjawab memantau Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Turut menunggu pengisian ialah Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, yang masing-masing kini dipangku Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Perdana Menteri dijangka mengumumkan pelantikan baharu Kabinet tersebut menjelang akhir bulan ini dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan memperkasa agenda MADANI. - Getaran, 3 Disember 2025