
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menolak satu usul yang bertujuan mengehadkan kuasa Presiden, Donald Trump untuk meneruskan perang dengan Iran.
Resolusi Kuasa Perang itu gagal diluluskan selepas memperoleh 49 undi menyokong berbanding 50 menolak. Ia sekali gus menjadi kali kedua dalam tempoh dua minggu Senat mempertimbangkan rang undang-undang yang bertujuan memaksa Trump menamatkan konflik dengan Iran.
Tentera AS pada Rabu memaklumkan pihaknya melancarkan satu lagi gelombang serangan udara ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu negara tersebut yang menyasarkan sebuah pangkalan tentera AS di Jordan.
Iran kemudian melancarkan serangan balas terhadap pangkalan tentera AS dan sasaran sekutunya di rantau Teluk selain mengganggu laluan penghantaran minyak di Selat Hormuz, sehingga mencetuskan kejutan kepada pasaran tenaga dunia.
Pertukaran serangan itu menandakan peningkatan konflik selepas gencatan senjata antara Washington dan Teheran gagal dipertahankan.
Senator negeri Pennsylvania, John Fetterman menjadi satu-satunya ahli parti Demokrat yang mengundi bersama Republikan untuk menggagalkan usul berkenaan.
Sebaliknya, tiga Senator parti Republikan iaitu Susan Collins dari Maine; Lisa Murkowski dari Alaska dan Rand Paul dari Kentucky menyokong usul itu, yang mengarahkan Trump menarik keluar tentera AS daripada konflik dengan Iran tanpa kelulusan jelas Kongres.
Bekas Ketua Pemimpin Republikan Dewan Senat, Mitch McConnell tidak menghadiri sesi pengundian kerana masih menjalani proses pemulihan selepas terjatuh pada Jun lalu dan belum mendapat kebenaran perubatan untuk kembali bertugas.
Keputusan itu mencerminkan peningkatan rasa tidak puas hati terhadap konflik yang kini berlarutan melebihi lima bulan, jauh lebih lama daripada tempoh empat hingga lima minggu yang diramalkan Trump ketika melancarkan perang bersama Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Senat sebelum ini meluluskan Resolusi Kuasa Perang buat kali pertama pada akhir Jun menerusi keputusan 50-48, apabila Collins, Paul, Murkowski dan Bill Cassidy dari Louisiana bertindak menyokong usul itu walaupun bertentangan dengan pendirian parti mereka.
Bagaimanapun, Trump mengadakan pertemuan dengan senator Republikan yang menentang pendiriannya sehari selepas itu, menyebabkan Paul dan Cassidy menarik balik sokongan mereka dalam tempoh 24 jam, sekali gus menggagalkan usul hampir sama melalui keputusan tipis. Sejak itu, Senat berulang kali menolak rang undang-undang berkenaan.
AS dan Israel melancarkan perang Iran bertujuan menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear dan mengekang sokongannya terhadap kumpulan bersenjata proksi di Asia Barat.
Menurut angka Pentagon, sekurang-kurangnya 18 anggota tentera AS terbunuh dan lebih 450 lagi cedera sepanjang konflik itu. Namun, ahli-ahli Demokrat mempersoalkan ketelusan angka berkenaan. – AGENSI
The post Senat AS tolak usul hadkan kuasa perang Trump appeared first on Utusan Malaysia.

