
Seorang senator cadang doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak diberi pengecualian cukai kereta sebagai insentif sekali beri bagi menarik lebih ramai tenaga perubatan ke Malaysia Timur yang kini berdepan kekurangan serius, terutamanya dalam kalangan pakar perubatan.
Cadangan itu dikemukakan oleh RA Lingeshwaran di Dewan Negara, susulan peningkatan jumlah doktor, khususnya pakar, yang menolak penempatan ke dua negeri berkenaan.
Ramai doktor tolak penempatan
Menurut beliau, ada doktor yang sanggup meletakkan jawatan sekiranya permohonan untuk kekal di Semenanjung tidak diluluskan. Situasi itu menyebabkan pesakit terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk mendapatkan rawatan pakar.
Lingeshwaran berkata, pendekatan luar kebiasaan perlu dipertimbangkan kerana faktor ganjaran kewangan lebih mempengaruhi keputusan doktor untuk kekal atau meninggalkan perkhidmatan.
Baca juga:
Suspek pijak Al-Quran sempat mohon maaf di media sosial sebelum ditahan
Tular video pijak Al-Quran, bapa serah anak ke balai dan mohon maaf
Dibayar RM200 buat ‘content’, lelaki kostum duyung ditahan pihak berkuasa
Isu elaun wilayah tambah tekanan
Selain pengecualian cukai kereta, beliau turut mencadangkan kerajaan negeri menawarkan elaun perkhidmatan khas tambahan bagi menjadikan penempatan di Malaysia Timur lebih menarik.
Beliau turut merujuk pengakuan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, bahawa kekurangan doktor dan paramedik memberi kesan kepada kebanyakan hospital di seluruh negara dan pelan tindakan sedang dirangka.
Sementara itu, portal kesihatan CodeBlue sebelum ini melaporkan pegawai perubatan baharu mulai 1 Disember 2024 menerima Bayaran Insentif Wilayah (BIW) lebih rendah berbanding senior bagi penempatan ke Sabah, Sarawak atau Labuan.
Kumpulan doktor memberi amaran bahawa pengurangan elaun itu berisiko mengurangkan lagi minat untuk berkhidmat di Malaysia Timur.
Lingeshwaran menegaskan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri perlu diperkukuh bagi memastikan akses rawatan yang lebih seimbang di seluruh negara.
Sumber: Free Malaysia Today
The post Senator cadang doktor berkhidmat di Sabah, Sarawak dikecualikan cukai kereta appeared first on The Reporter.

