
DAKAR: Jurulatih Senegal Aliou Cisse (gambar) pada Jumaat mengumumkan skuad 26 pemainnya, termasuk Sadio Mane yang cedera, untuk Piala Dunia FIFA di Qatar yang akan berlangsung dari 20 Nov hingga 18 Dis.
Menjelaskan mengenai pemilihan Mane yang cedera pada Selasa ketika bermain dengan kelabnya Bayern Munich, Cisse berkata berita baiknya ialah pemain terbaik Lions of Teranga dari Senegal itu “tidak perlu menjalani pembedahan”.
“Saya memilih untuk mengekalkannya dalam kumpulan kerana kami sudah melalui situasi seperti ini, termasuk dengan Ismaila Sarr di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON 2021). Kami dapat menangani situasi itu,“ Xinhua memetiknya kenyataannya di akhbar.
“Sadio adalah pemain istimewa dalam pasukan kami. Jadi, kami akan terus memantau kecederaannya dan berharap dalam dua atau tiga minggu, akan ada sedikit perubahan. Kami benar-benar optimis,“ katanya.
Cisse berkata beliau lebih memikirkan tentang “konsistensi” dan “keseimbangan” dalam mengekalkan tulang belakang pasukan yang memenangi kejuaraan Afrika Februari lepas di Cameroon.
Senegal diundi dalam Kumpulan A Piala Dunia bersama Ecuador, Belanda dan tuan rumah Qatar.
Berikut adalah 26 pemain yang dipilih:
Penjaga gol: Edouard Mendy, Seny Dieng, Alfred Gomis
Pertahanan: Kalidou Koulibaly, Abdou Diallo, Pape Abou Cisse, Ismail Jakobs, Fode Ballo Toure, Youssouf Sabaly, Formose Mendy
Pemain tengah: Mamadou Loum Ndiaye, Idrissa Gana Gueye, Nampalys Mendy, Pape Gueye, Moustapha Nam, Pathe Ciss, Pape Matar Sarr, Cheikhou Kouyate
Penyerang: Sadio Mane, Ismaila Sarr, Krepin Diatta, Iliman Ndiaye, Boulaye Dia, Bamba Dieng, Nicolas Jackson, Famara Diedhiou. -Bernama
