Senheng perluas perniagaan kelengkapan rumah menerusi Grand senQ di Citta Mall, Ara Damansara

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 4:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Senheng perluas perniagaan kelengkapan rumah menerusi Grand senQ di Citta Mall, Ara Damansara Image from: Senheng perluas perniagaan kelengkapan rumah menerusi Grand senQ di Citta Mall, Ara Damansara liza20/11/2026 - 16:54 Antara tarikan utama cawangan itu ialah ruang khas SHC yang menyediakan platform bersepadu untuk pelanggan merancang dan melengkapkan kediaman masing-masing Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov – Senheng New Retail Berhad memperluaskan skop perniagaannya ke segmen kelengkapan dan pengubahsuaian rumah menerusi pengenalan perkhidmatan Senheng Home Customisation (SHC), selari dengan usaha kumpulan itu memperkukuh ekosistem peruncitan di Malaysia.

 

Langkah itu turut diperlihatkan menerusi pembukaan cawangan baharu Grand senQ di CITTA Mall, Ara Damansara yang menjadi cawangan Grand senQ kelapan dan cawangan senQ ke-30 di Malaysia.

 

Beroperasi di kawasan seluas kira-kira 21,132 kaki persegi, premis berkenaan menawarkan pelbagai produk elektronik pengguna, gajet digital, peralatan elektrik rumah serta penyelesaian gaya hidup dalam satu lokasi.

 

Antara tarikan utama cawangan itu ialah ruang khas SHC yang menyediakan platform bersepadu untuk pelanggan merancang dan melengkapkan kediaman masing-masing.

 

Perkhidmatan berkenaan merangkumi khidmat visual reka bentuk dalaman, kerja pertukangan dan kabinet, perabot, tilam, peralatan elektrik serta pelbagai penyelesaian berkaitan kediaman.

 

SHC yang dilancarkan secara rasmi pada Mei 2026 membolehkan pelanggan meneroka konsep kediaman pilihan, menyesuaikan ruang mengikut keperluan serta menyelaras pelbagai aspek kelengkapan rumah menerusi proses yang lebih mudah.

 

Menerusi pendekatan itu, Senheng mahu memperluaskan peranannya daripada peruncit elektronik pengguna kepada penyedia penyelesaian kediaman yang merangkumi peringkat perancangan sehingga pemilihan produk untuk melengkapkan rumah.

 

Sasar pelanggan sejak peringkat perancangan rumah

Pengarah Urusan Senheng New Retail Berhad, Lim Kim Heng berkata, pembukaan Grand senQ CITTA Mall merupakan sebahagian daripada transformasi peruncitan kumpulan yang memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan lebih menyeluruh.

 

Beliau berkata, perubahan pilihan pengguna memerlukan kedai fizikal menawarkan lebih daripada sekadar produk, sebaliknya perlu menggabungkan teknologi, kemudahan, perkhidmatan peribadi serta ganjaran kepada pelanggan.

 

“Keputusan berkaitan kelengkapan rumah lazimnya dibuat lebih awal berbanding pembelian peralatan elektrik, sekali gus membuka peluang kepada kumpulan untuk mendekati pelanggan sejak peringkat perancangan kediaman.

 

“Dengan mengintegrasikan perkhidmatan pengubahsuaian dan kelengkapan rumah bersama rangkaian peruncitan sedia ada, Senheng menyasarkan pengalaman pelanggan yang lebih mudah dan menyeluruh,” katanya.

 

Perkukuh ekosistem ganjaran pelanggan

Dalam pada itu, kumpulan turut meneruskan usaha memperkukuh ekosistem peruncitan berbilang saluran menerusi model perniagaan berasaskan mata ganjaran atau Point-Based Economy (PBE).

 

Melalui ekosistem S-Coin, ahli program kesetiaan PlusOne boleh mengumpul ganjaran menerusi pembelian yang layak dan menebusnya bagi mendapatkan sehingga 2,400 produk serta ganjaran terpilih melalui aplikasi Senheng dan kedai fizikal yang mengambil bahagian.

 

Sempena pembukaan cawangan baharu itu, senQ turut mengadakan kempen promosi selama tiga hari dari 20 hingga 22 November 2026, termasuk tawaran pulangan S-Coin sehingga 100% bagi lebih 150 model terpilih peralatan kecil, botol dan perkakas dapur.

 

Pelanggan turut menikmati pulangan S-Coin sebanyak 50% bagi produk elektronik pengguna dan gajet digital terpilih, selain tawaran jaminan percuma sehingga empat tahun bagi televisyen terpilih.

 

Bagi pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan SHC, kumpulan menawarkan pulangan S-Coin sehingga 50% kepada 20 pelanggan terawal serta mesin basuh pinggan mangkuk percuma bernilai RM3,699 dengan perbelanjaan minimum RM25,000 bagi pakej kelengkapan rumah yang layak. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved