
Saya, Ninot Aziz dengan segala rendah diri menulis warqah ini bukan untuk kepentingan diri, namun demi rasa cinta pada negara, jati diri bangsa dan warisan budaya.
Saya memohon keprihatinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri memberikan perhatian dan sokongan kepada pemerkasaan budaya kita supaya dikenali dan dicintai semua rakyat, tanpa mengenal bangsa dan etnik, agama mahupun umur kerana budaya Melayu ini sebenarnya milik kita bersama.

Sebuah negara di mana seni dan budayanya dihanyutkan aliran deras pemodenan dan jurang kemiskinan akan terus ketinggalan terutama dari segi kreativiti dan identiti.
Ini menjadi antara sebab tradisi budaya, keilmuan dan tukang pandai semakin luput, dan secara langsung, tahap keyakinan dan cerdik pandai warisan terjejas. Negara-negara yang mewarisi warisan budaya terus berjuang untuk mengekalkan identiti di tengah-tengah era globalisasi, dan arus pemodenan serta kontemporari.
Malaysia telah melihat perubahan besar dalam landskap kebudayaan negara. Warisan budaya pribumi termasuk Melayu sebagai identiti kebangsaan yang dibayangkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 dan diserikan dengan budaya masyarakat majmuk kita. Pada masa itu, nilai budaya tinggi, kearifan lokal dan cara hidup dipelihara, dipulihara dan diperkasa agar tidak luput sama sekali.
Alangkah merudum sinar dunia Malaysiana jika tukang pandai penenun songket, pembuat batik, pengukir kayu, keris dan tukang tembaga serta pengamal seni budaya kita seperti Makyung, Mek Mulung dan Wayang kulit yang diiktiraf badan dunia seperti United Nations tiada lagi. Mungkin tidak keterlaluan jika kita bayangkan keadaan sebegini membawa satu natijah kehancuran sesuatu peradaban dan perkembangan budaya apabila tidak seimbang antara budaya kontemporari dan tradisi.
Keterampilan Seni dan Budaya
Seni dan budaya merangkumi pelbagai aspek - terutamanya kesusasteraan, persembahan pentas, kesenian dan kraf. Ianya mewarnai kehidupan seharian, liku-liku kehidupan masyarakat melalui bidang penerbitan, perfileman dan menjadi intipati utama industri pelancongan serta keunikan sesebuah negara.
Baru minggu lepas, kita lihat penggunaan bahasa tinggi semasa pembentangan Belanjawan 2023 YAB Datuk Seri memberi satu ilham kehidupan, dalam mencari penyelesaian islah.
“Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani negara tetangga serantau tetapi seantero dunia juga, dan pada masa sama membenih keyakinan di kalangan rakyat.”
Harapan tinggi menggunung kata-kata YAB Perdana Menteri akan merangkumi pemerkasaan seni dan budaya tanahair ini.
Mungkin soal pembangunan dan pembendungan ketirisan menjadi tema utama Belanjawan 2023 Malaysia Madani. Banyak perkara yang lebih penting, lebih menggugat, dalam tempoh terdekat ini. ‘Bread and butter issues’ rakyat yang terkesan mesti ditangani dan diberi perhatian.
Namun, demi perancangan jangka panjang, kira harapkan aspek perpaduan, berlandaskan Rukun Negara, dilestarikan melalui budaya tinggi bangsa. Demi membentuk nilai-nilai murni,
jati diri, kesefahaman, kesederhanaan dan saling kasih-mengasihani, sifat belas dan keharmonian sejagat, seni dan budaya itulah antara intipati terpenting pembangunan. Ini diakui Perbadanan Bangsa Bangsa Bersatu Dunia dan UNESCO.
Aspek Ekonomi melalui Industri Pelancongan
Kita akui Industri Pelancongan itu salah satu penyumbang utama negara - lihat saja negeri negeri seperti Melaka, Sarawak dan Selangor menggembeleng jentera pembangunan melalui pelancongan secara dinamis.
Belanjawan RM250 juta untuk Pelancongan amat dialu-alukan. Begitu juga sasaran menjadikan Tahun 2025sebagai Tahun Melawat Malaysia. Ini memberikan peluang semua sektor berkaitan pulih dengan sepenuhnya dari impak pandemik 2020 hingga 2021.
Namun peruntukan untuk pelancongan hanya bertujuan promosi dan menyenangkan pelancong ke Malaysia - di mana dana perkembangan kandungan kreatif dan seni budaya untuk menyemarak industri pelancongan.
Tourism is not a destination. It is an experience. Imbued with the arts and culture.
Langkah DBKL dan Tan Sri Rais Yatim mengutarakan sebuah pusat Dunia Melayu baru-baru ini juga amat dialu-alukan. Selama ini, saya mendukung konsep ini ke pelbagai pihak demi rasa cinta pada negara, jati diri bangsa dan warisan budaya Melayu.
Selama lebih 20 tahun, saya menulis buku-buku bertemakan Hikayat dan Budaya Melayu sebagai satu landasan perpaduan pelbagai bangsa dan etnik di negara kita yang bertuah. Saya katakan, ‘Our legends and follores belong to ALL of us. To Love. To Share. To Cherish.’ Begitu juga seni dan budaya yang terangkum indah dalam kisah kisah Hikayat ini. Kini buku-buku saya bertemakan Hikayat akan diterjemah ke bahasa Itali dan Jerman hasil usaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Melalui penceritaan, kita berkongsi nilai murni (Universal Values), moral tinggi dan kearifan lokal yang boleh dibanggakan.
Dalam pemerhatian saya, apabila saya berkongsi kisah hikayat ini, ia menggalakkan cinta sesama bangsa, pengenalan pada budaya Melayu secara ‘non-confrontational’.
Sesungguhnya kita tahu bahawa Malaysia, atau dahulunya Malaya, atau lebih awal lagi Aurea Chernosese, begitu tersohor seantaro dunia melalui nilai kesusasteraan bahasanya yang tinggi, kekayaan khazanah buminya, keindahan busana, keaslian bunyi-bunyiannya, kesenian tari-tariannya, dan keilmuannya serta lain-lain kearifan lokal.
Antara nilai khazanah kita termasuk 10,000 Manuskrip Melayu bertaburan di seluruh dunia di lebih daripada 150 muzium dan institusi di 60 negara - bukti kekayaan pengetahuan dunia lama yang pernah kita miliki seperti hukum kanun, ilmu tib, ilmu besi, bahkan pengetahuan maritim sebagai tambahan kepada subjek seperti genealogi raja-raja dan kesusasteraan dalam manuskrip Melayu lama.
Hari ini, kita melihat negara-negara jiran menggunakan naratif dunia Melayu sebagai tarikan pelancongan utama - seperti Singapura, Indonesia serta Thailand.
Singapura maju ke hadapan, mengambil satu lembaran dari sejarah Melayu sebagai asas kewujudan mereka. Sang Nila Utama diraikan dalam naratif 700 tahun (pada masa yang sama mengetepikan sejarah dan peranan kita di rantau ini). Singapura telah mengisytiharkan peranannya dalam sejarah Nusantara sebagai pelabuhan maritim dan utama di rantau ini. Hilang Melaka. Lenyap Kedah. Kelantan ditelan zaman.
Indonesia juga telah membina seluruh ekosistem pelancongan yang penuh dengan budaya untuk mempromosikan destinasi utamanya seperti Bali, Medan, Yogjakarta, Lombok dan Ubud.
Indonesia telah mempromosi budaya, makanan dan Indonesia secara agresif ke seluruh dunia. Kita tidak mengambil peluang untuk menggerakkan Melayu Nusantara secara serius. Kita tidak mengambil iktibar bahawa di banyak negara , industri kreatif termasuk seni dan budaya menjana 7 % ke 10% KDNK. Di Malaysia, ini dikatakan menjangkau 2% sahaja dan mempunyai peluang cerah untuk menggandakan hasil KDNK. Jangan sebut Korea Selatan yang begitu jauh ke hadapan.
Kita sebenarnya boleh menggunakan naratif seni dan budaya ditambah naratif kepelbagaian budaya yang sangat besar untuk menzahirkan produk, daya tarikan dan perkhidmatan yang bercirikan keunikan bangsa.
Kebangkitan 'budaya Melayu' boleh membawa kepada kekuatan bangsa dan membina keyakinan dan identiti negara. Bukan sebagai milik Melayu tetapi milik semua rakyat Malaysia yang boleh dibanggakan!
Dari perspektif ekonomi, terdapat banyak peluang mempromosikan dunia Melayu, khususnya melalui pelancongan dan pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor perhotelan, runcit, hiburan, industri makanan, serta industri kreatif dan perfileman.
Kenapa Singapura pula harus dibiarkan menjadi juara Hub Melayu?
Memperkasa dunia Melayu sebagai satu pusat kajian, pelancongan dan perpaduan bukan agenda berbaur rasis tetapi satu usaha perpaduan. Bukan sebuah pusat atau taman yang mementingkan aspek luaran semata-mata - falsafah sebagai asas dan paksinya mestilah holistik - bukan dari perspektif seni bina, budaya atau sastera sahaja. Isi kandungan - visual, video, 'voice' mesti diberikan keutamaan. Melayu itu bukan Islam semata-mata. Adab dan adat itu nilai sebenar Budaya Melayu.
Apabila kita saling mengenali, perasaan kasih pada budaya dan identiti dapat menjalin kebersamaan.
Oleh itu, besar harapan saya, Zalina binti Abdul Aziz bin Salehuddin dari Kampung Baru Chenor bin Awang Pekan bin Tok Nit bin Tok Tunggal Bukit Segumpal bin Tok Ghafur bin Tok Aji bin Tok Sabur Kampung Duri merayu YAB Perdana Menteri memberi sokongan dan keprihatinan menyokong penuh pemerkasaan seni dan budaya warisan berzaman sebagai kebanggaan semua rakyat Malaysia.

Ninot Aziz
Pengarang dan Penulis
Konsultan, bzBee Consult Sdn Bhd
Ketua Seni dan Gaya Hidup, Majlis Perundingan Melayu,
Naib Presiden, Persatuan Sastera Lisan Malaysia
Ninot Aziz adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
