
Seni Islam Rentas Budaya: Strategi Baharu Dakwah Dekati Generasi Muda
PUTRAJAYA -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan telah mengadakan pertemuan bersama legenda muzik dan tokoh dakwah antarabangsa, Yusuf Islam di Kompleks Islam Putrajaya pada Jumaat lalu.
Dalam pertemuan itu, beliau membincangkan potensi kerjasama dalam memperkasa dakwah melalui pendekatan seni.
"Perbincangan ini tertumpu kepada potensi kerjasama memperkasa dakwah khususnya mendekati anak muda melalui pendekatan seni Islam yang menyentuh jiwa dan merentas budaya," kata Dr. Zulkifli.
Turut hadir memeriahkan sesi tersebut ialah kumpulan ANA The Rayhan yang mengimbau kembali kolaborasi terdahulu bersama Yusuf Islam.
Gandingan Yusuf, Nazrey Imbau Nostalgia 1997
Lebih menarik, sesi tersebut turut diserikan dengan persembahan apabila Yusuf Islam bergandingan dengan penyanyi kumpulan Raihan, Nazrey Johani, yang mempersembahkan lagu God Is The Light dan Puji-Pujian, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia kumpulan Raihan.
Dalam sesi perkongsian, Nazrey turut mengenang kembali pengalaman kumpulan Raihan apabila pernah dijemput merakam lagu di studio milik Yusuf Islam di London pada tahun 1997.
Menurut Nazrey, gabungan seni dan dakwah mampu memperluaskan penyampaian mesej Islam kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
“Bila seni dan dakwah bergabung, mesej sampai lebih jauh, insya-Allah,” katanya.
Pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh peranan seni dalam dakwah kontemporari, khususnya dalam mendekati generasi muda melalui pendekatan yang lebih kreatif dan relevan.




