SENI | Luahan Hati Seorang Penggiat Teater

Art
26 May 2026 • 5:00 PM MYT
Seni:Kita
Seni:Kita

From arts reviews to backstage gossip. Supported by Penang Arts Council.

Image from: SENI | Luahan Hati Seorang Penggiat Teater
(Gambar Hiasan: Penang Monthly)

Aku berborak dengan rakan seperjuangan teater tempoh hari. Biasalah, celoteh kami mengenai isu-isu hangat yang mewarnai hidup insan seperti kami yang tergelumang dalam dunia pementasan teater. Bicara mengenai dana, bengkel lakonan, strategi publisiti dan isu penutupan beberapa pentas kerajaan negeri untuk penambahbaikan, menjadi highlight pada sesi tersebut.

Ada jugak gosip-gosip dan skandal belakang scene yang kami jajan sama-sama sampai kenyang. Maklumlah, di dunia teater ni, ada jugak puak-puak yang memang aku tak tahan. Puak yang bikin teater berkualiti rendah, tapi mampu naik pentas terima anugerah. Kelakar. Tapi tak apa, itu cerita untuk lain masa.

Sedang kami rancak berborak mengenai isu yang melanda dunia pementasan, aku sedar kami masing-masing cuba mengelak daripada menyentuh the elephant in the room. Mungkin sebab topik ni dah terlalu obvious. Terlalu dinormalkan. Dan juga terlalu sakit nak diakui.

DUNIA TEATER TENGAH TENAT.

Banyak kumpulan teater komuniti yang bersifat non-profit di Penang tengah nazak. Nak cari penonton punyalah payah - walaupun dengan tiket bajet-friendly. Aku rindu sebenarnya melihat full house tanpa perlu merayu orang beli tiket. Kadang-kadang rasa macam orang jual MLM lebih terhormat daripada orang teater yang cuba promote karya sendiri.

Memanglah teater besar ada yang tengah rancak - terutamanya di ibukota. Apa tidaknya, kalau pengasasnya dah bergelar selebriti, mudahlah kerja mendapat dana - pasti berduyun sponsorship yang diterima. Ramai juga artis yang hadir ujibakat, menambah sensasi di media sosial. Tup tap tup tap, pementasan gerenti sold out dengan publisiti awangan yang membariskan pelakon-pelakon yang ada nama.

Jujurnya aku takkan terkejut jika nilai komersil pementasan sedemikian lebih tinggi daripada kualiti pementasan itu sendiri. Aku bercakap ni bukan ikut sedap mulut, aku pernah menyaksikannya dengan mata kepala sendiri. Maklumlah, kita hidup di negara yang banyak pengampu. Walau cerita dan arahan tak sehebat mana, tepukan tangan dan puji-pujian pastinya gemuruh.

Dan sementara selebriti tersebut memeriahkan dunia teater, ramai penggiat teater yang benar-benar hidup untuk seni ini cuma mampu memerhati dari jauh. Seperti aku. Seperti rakan-rakan seperjuanganku.

Aku ingat lagi kata rakanku bila aku ungkitkan ketenatan teater. Katanya, “Bercakap pun tak guna. Menangis air mata darah pun tak guna. Benda dah jadi lumrah. Redha je.”

Aku memang geram dengan konsep redha ni sebenarnya. Sebab pada aku, isu ni penting. Sangat penting. Dan kita memang perlu terus bercakap pasal benda-benda ni. Jangan dinormalisasikan isu teater yang tiada sokongan. Kalau asyik redha tanpa mahu mencari jalan, itu hanya menampakkan kebodohan kita sebagai penggiat teater.

Sikap mendiamkan diri kita itulah yang menyebabkan wujudnya jurang besar dalam ekosistem seni. Apabila ekosistem seni terlalu rapuh, akhirnya semua orang mula saling menekan antara satu sama lain demi survival masing-masing.

Ya, aku faham bila ada pelakon berkata, “I’m an artist. I don’t work for free.” Dan aku tak salahkan mereka sepenuhnya.

Sebab ramai penggiat teater macam aku sebenarnya berhenti membayar diri sendiri supaya kami masih boleh membayar pelakon. Kadang-kadang sampai empat lima role kami pegang - dari arahan sampailah jadi tukang sapu pentas - supaya bajet pelakon tetap ada.

Itulah akibatnya apabila kita normalisasikan struggle kita sebagai penggiat seni. Bila kita kekangan bajet, kita diam. Tapi bila dapat dana sebesar zarah, kita bising satu kampung. Akhirnya orang luar fikir we are doing OK.

Aku ingat lagi, sekali tu ada pelakon baru yang minta aku gandakan bayaran menjadi RM2 ribu, sedangkan nak bayar seribu pun aku dah tercungap-cungap. Sakit jiwa jadinya.

Nak dapatkan dana dari organisasi besar pun satu hal. Sampai nak makan nyawa. Masa nak promote dana, memang syahdu. “We want to help you,” katanya. “Come join our conference and discussion session,” desaknya. Kita pun ajaklah semua kaki teater yang kita tahu. Akhirnya lepas dua jam meminjam telinga dan bila sesi bergambar dah settle (bukti KPI dicapai) dimintanya kita pohon dana bagaikan mudah prosedurnya.

Tapi ya Allah. Nak pohon satu geran kecil pun documentation-nya pelbagai. Dari audit tahunan, data rekod pementasan, rakaman show yang lepas, sehinggalah repot berjadual setiap bulan - macam-macam yang diminta. Semuanya perlukan masa berjam-jam untuk disediakan, selain pengetahuan dalam bidang pengurusan dan kewangan. Padahal kebanyakan kumpulan teater cuma ada beberapa kerat manusia penat yang sedang cuba memastikan teater mereka terus bernyawa.

Walaupun sebegitu, ada jugak orang seni yang dungu seperti aku korbankan masa berminggu-minggu siapkan application. Lepas habis bertungkus-lumus apply, kena reject jugak.

Dan yang lebih memenatkan, sebab musabab permohonan kita kena tolak pun kita tak tahu. Kalau nak tahu, kononnya perlu diemel semula untuk memulakan sesi discussion baru. Memang menyusahkan!

Memandangkan organisasi besar yang mendabik dada di persada seni kita dah lepas tangan pada penggiat teater macam aku, terpaksalah orang semacam aku beralih pula meminta sedekah pada exco-exco di Pulau Pinang ni.

Satu demi satu emel dikirim dan panggilan telefon dibuat, tapi jawapannya lebih kurang sama.

“Sorry, kita hanya bagi dana untuk Persatuan.”

“Oh, kita dah tak ada lebihan dana nak diberi.”

“Kalau pohon kurang RM2 ribu, maybe lah. Tapi tak boleh janji.”

Kalau dapat pun seribu dua, jangan ingat sumbangan dalam tangan bila diperlukan. Biasanya lepas dua tiga bulan show selesai, kami masih terkejar-kejar menagih dana. Tapi walau apapun, lebih baik lambat terima daripada langsung tiada.

Namun begitu, setiap kali satu pementasan selesai, anxiety itu datang semula. Sebab aku tahu aku perlu mula mencari dana untuk pementasan seterusnya. Dan bagi ramai penggiat teater lain, anxiety itu bukan bermusim. Ia hidup bersama mereka setiap hari.

Aku juga tahu ramai yang menggunakan duit gaji sendiri untuk membuat show, sedangkan mereka tahu akan menanggung kerugian akibat lambakan tiket yang tak terjual.

Dan ini hakikat yang paling pahit.

Walaupun penggiat teater seperti kami mengenakan bayaran tiket berpatutan antara RM30 - RM45, tapi selagi jumlah jualan tiket di bawah 40%, ia tetap tak cukup untuk cover kos pementasan.

Ada juga beberapa rakanku yang menguji pasaran dengan menurunkan harga tiket di bawah RM30 - sayangnya pembelian tiket tetap mencorot.

Inilah sebabnya orang teater semacam aku ni sakit hati.

Aku mahu buat teater yang berkualiti tinggi. Tapi bila tak ada sokongan bajet, bagaimana harus aku dapatkan venue, pelakon, pereka set serta kru teknikal yang bagus untuk menaiktaraf kualiti pementasan?

Tambahan pula, mereka semua ini juga sedang cuba survive dalam industri yang sama dan mahu dibayar setimpal.

Hakikatnya, dunia teater ni memang nazak. Dan penggiat teater komuniti non-profit seperti aku, nazak sekali.

Hakikatnya, orang-orang besar industri seni asyik bercakap mengenai “how to create public value for arts,” tetapi gagal menjaga orang-orang seni yang sebenarnya menghasilkan nilai tersebut.

Hakikatnya, ekosistem seni Malaysia memang tandus sokongan. Rakan yang kerap memuji daya artistik kita belum tentu akan membeli tiket. Followers yang kerap bertanya “When is your next show?” juga belum tentu akan membeli tiket.

Dan mungkin itulah tragedi terbesar dunia seni kita. Orang-orang yang paling passionate pada teater sedang perlahan-lahan kehabisan tenaga untuk menyelamatkannya. Seperti aku.


Mengenai penulis:

Asam Pedas percaya idea terbaik selalunya datang bersama bunyi kriuk kriuk jajan. Lagi banyak yang dikunyah, lagi rancak dia berkarya. Kekadang sibuk menulis skrip teater, kekadang melayan artikel dan ulasan pentas. Apa pun yang sedang dikunyah, kiblat dunianya tetap teater.


Seni:Kita (pentaspena.pg@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.