SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi

Art
30 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Seni:Kita
Seni:Kita

From arts reviews to backstage gossip. Supported by Penang Arts Council.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia)

Teater Menguak Kabus dipentaskan pada 23 dan 24 Oktober 2026 di Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), sempena Pesta Teater USM ke-8. Pementasan anjuran Pusat Pengajian Seni USM (SOTA USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara ini diarahkan oleh Azrul Azizi Amirul, menggunakan naskhah adaptasi Fatimah Manaf daripada novel karya Allahyarham Norhisham Mustaffa.

Naskhah ini membawa penonton mengikuti perjalanan hidup Dahlan, seorang remaja berusia 16 tahun yang dihantar ke sekolah pondok untuk mendalami ilmu agama selepas ayahnya, yang dahulunya seorang usahawan moden, mula dipengaruhi oleh Ustaz Qudus sehingga taksub dengan agama.

Di pondok, Dahlan bertemu ‘keluarga’ barunya seperti Kahar, seorang pelajar dewasa yang masih meneruskan pengajian, serta Ustaz Kadir yang telah berusia tetapi beristerikan Najirah, seorang wanita muda. Ketika kebanyakan pelajar pondok lebih tertarik kepada kecantikan Najirah daripada pelajaran agama, Dahlan menonjol sebagai pelajar cemerlang. Ekoran itu, dia mendapat dorongan para ustaz untuk meneruskan persekolahan sehingga SPM pada waktu siang, sambil mendalami ilmu agama pada waktu malam.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Shahrul Effendi)

Namun, kehidupan baharunya tidak membebaskan Dahlan daripada persoalan tentang keluarganya. Surat-surat yang diterima dari rumah semakin pendek dan dingin. Apabila Ustaz Qudus datang membawa berita bahawa ayahnya membawa diri ke India, Dahlan mula mencari jawapan. Perjalanannya ke Terengganu akhirnya membongkar penceraian ibu bapanya dan keputusan ayahnya sendiri untuk meminang ibunya bagi dikahwinkan dengan Ustaz Qudus. Ibunya kemudian berhijrah ke Indonesia bersama suami baharunya, manakala adik-adik Dahlan dihantar tinggal bersama datuk mereka di Melaka.

Ketika Dahlan berhadapan dengan keruntuhkan keluarganya, Kahar pula meninggal dunia setelah terlantar sakit sepanjang pemergiannya ke Terengganu. Dahlan akhirnya kembali ke pondok dengan hasrat mahu membawa adik-adiknya tinggal bersamanya. Dia berazam meneruskan cita-cita Kahar untuk menjadi seorang guru.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia)

Mengimbau novel remaja zaman dahulu

Bagi mereka yang melalui zaman remaja pada dekad 1980-an dan 1990-an seperti saya, membaca novel merupakan sebahagian daripada gaya hidup ketika itu. Menonton Menguak Kabus seolah-olah membawa saya kembali ke zaman itu, ketika novel remaja bukan sekadar menawarkan cerita, tetapi turut menyelitkan persoalan tentang kehidupan, nilai masyarakat, budaya, dan agama.

Walaupun saya belum pernah membaca novel Menguak Kabus, jalan cerita yang dipersembahkan mengingatkan saya kepada karya-karya yang dihasilkan sebelum tahun 2000. Ceritanya bukan semata-mata tentang nasib seorang remaja, tetapi tentang bagaimana protagonis membina kekuatan diri ketika berhadapan dengan kehilangan, kekecewaan dan perubahan yang tidak dipilihnya sendiri.

Saya turut teringat akan Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, yang mengisahkan keperitan sebuah keluarga petani. Apabila si bapa meninggal dunia dan si ibu pula mengalami tekanan jiwa, anak gadis mereka yang berusia 16 tahun terpaksa mengambil alih tanggungjawab membesarkan adik-adiknya sambil mengusahakan sawah. Walaupun latar dan cabaran kedua-dua cerita berbeza, terdapat persamaan pada perjuangan watak muda yang terpaksa memikul tanggungjawab besar sebelum tiba waktunya.

Saya suka cerita sebegini, tentang watak yang melalui proses pencarian diri, mempunyai harga diri, tidak mudah menyerah kalah dan berusaha membina kehidupan daripada apa yang masih dimilikinya. Perjalanan Dahlan juga menyentuh soal maruah, kasih sayang serta hubungan manusia dengan Tuhan dan sesama manusia. Inilah yang menjadikan kisah Menguak Kabus ini menarik, kerana paparannya lebih daripada sekadar cerita tentang keperitan hidup.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Shahril Effendi)

Antara yang dipilih dan yang dipinggirkan

Menurut penulis Fatimah Manaf yang sempat saya temui selepas pementasan, proses mengadaptasi novel Menguak Kabus ini bukan sesuatu yang mudah. Novel tersebut mempunyai 14 bab, dengan banyak bahagian tertumpu pada pemikiran, kebingungan dan pengalaman Dahlan. Dalam proses adaptasi, plot dan subplot yang menyumbang kepada perkembangan cerita dipilih, manakala bahagian lain terpaksa diketepikan.

Memindahkan sebuah novel ke pentas bukan sekadar memendekkan cerita. Penulis perlu menentukan peristiwa yang penting, watak yang perlu diberikan ruang dan babak yang benar-benar menggerakkan perjalanan cerita. Saya memahami cabaran itu.

Namun, sebagai penonton, saya merasakan adaptasi ini masih boleh dikemaskinikan supaya penceritaannya lebih padu. Beberapa babak sampingan, seperti perbualan pelajar pondok tentang kecantikan Najirah, babak rakan sekelas Dahlan yang menaruh hati kepadanya, serta babak Kahar bermonolog selepas kematiannya, terasa kurang menyumbang kepada perkembangan watak utama. Mungkin babak-babak ini bertujuan memberikan sedikit ruang santai kepada sebuah naskhah yang sarat dengan isu berat. Namun, sekiranya dipadatkan, pementasan selama lebih 100 minit ini berpotensi menjadi sebuah persembahan yang lebih mantap.

Walaupun terdapat beberapa babak yang kurang momentum, satu aspek pengarahan yang saya cukup suka ialah peralihan antara babak. Pergerakan cerita dari tengah pentas ke kiri dan kanan pentas, berlangsung dengan lancar, tanpa terasa seperti pertukaran adegan yang memutuskan aliran penceritaan. Kesinambungan ini menjadikan cerita bergerak secara semula jadi. Saya pasti banyak latihan diperlukan untuk mencapai kelancaran sedemikian. Untuk aspek ini, tahniah kepada pengarah dan seluruh pasukan produksi.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia)

Lakonan yang belum sepenuhnya menyatu

Peralihan babak yang lancar, reka bentuk set yang berkesan serta penggunaan cahaya dan bunyi menjadi antara kekuatan pementasan ini. Namun, aspek lakonan masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari segi penghayatan watak dan interaksi antara pelakon.

Sememangnya terdapat pelakon yang memberikan persembahan yang sangat baik, antaranya pelakon yang memegang watak Kahar dan Ustaz Qudus. Namun, secara keseluruhan, saya merasakan sebahagian besar pelakon lebih menumpukan perhatian pada penyampaian dialog masing-masing, tanpa adanya chemistry dengan rakan pentas. Akibatnya, hubungan antara watak terasa longgar.

Saya tidak pasti sama ada perkara ini berpunca daripada kekurangan latihan atau kelemahan dalam penghayatan lakonan. Namun dalam teater, lakonan bukan sekadar tentang bagaimana seseorang menyampaikan dialog atau menunjukkan emosi. Ia juga tentang bagaimana seseorang mendengar, bertindak balas dan membina hubungan dengan watak lain. Apabila hubungan itu tidak meyakinkan, emosi yang sepatutnya terhasil daripada interaksi sesama watak turut terjejas.

Perkara ini lebih ketara pada watak Dahlan sebagai peneraju utama. Lakonannya tidak konsisten. Pada bahagian awal, reaksi wajahnya kadangkala kelihatan berlebihan, seolah-olah emosi perlu ditambah untuk memastikan penonton suka akan watak utama yang disandangnya. Namun, menjelang pertengahan cerita, lakonannya menjadi lebih natural. Perubahan ini menyebabkan saya sukar menghayati perjalanan emosinya secara menyeluruh.

Reaksi Dahlan yang sangat beremosi ketika memperlihatkan betapa beratnya dugaan yang ditanggung, terutamanya di penghujung cerita, juga agak antiklimaks. Sebagai seorang remaja yang digambarkan cerdik dan berdikari, kekuatan wataknya boleh terserlah lebih kental melalui usahanya untuk terus bertahan dengan tabah. Kadangkala, emosi yang ditahan lebih menyentuh daripada emosi yang diluahkan sepenuhnya.

Apabila terlalu banyak babak cuba mencapai kemuncak emosi, cerita akhirnya terasa meleret, sekali gus menjejaskan momentum cerita.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Shahril Effendi)

Keberanian membicarakan agama tanpa mengajar

Pada pandangan saya, kekuatan sebenar Menguak Kabus terletak pada keberaniannya membicarakan agama daripada sudut yang tidak selalunya diketengahkan.

Pementasan ini memperlihatkan bagaimana ketaksuban terhadap agama boleh mengubah manusia, bagaimana agama boleh diperalatkan oleh individu demi kepentingan sendiri, dan bagaimana manusia masih bergelumang dengan keinginan serta nafsu walaupun berada dalam persekitaran yang sepatutnya mendidik mereka mendekatkan diri kepada Tuhan. Pada masa yang sama, cerita ini tidak menafikan kepentingan pendidikan duniawi. Melalui Dahlan dan guru-gurunya, kita melihat usaha untuk menyeimbangkan ilmu agama dengan pendidikan formal.

Apa yang saya hargai ialah pementasan ini tidak bersifat mengajar atau berdakwah secara langsung. Ia tidak memaksa penonton menerima satu kesimpulan. Sebaliknya, penonton diberikan ruang untuk memerhatikan perbuatan watak-wataknya, menilai percanggahan antara apa yang mereka percayai dengan apa yang mereka lakukan, lalu membuat pertimbangan sendiri.

Bagi saya, pendekatan sebegini lebih berkesan kerana persoalan yang dibangkitkan tidak terhad kepada agama semata-mata. Ia turut menyentuh soal kuasa, kepercayaan, manipulasi dan kelemahan manusia. Seseorang boleh kelihatan begitu dekat dengan agama, tetapi tindakannya belum tentu mencerminkan nilai yang dibawanya. Dan seseorang yang sedang membina kehidupan melalui pendidikan duniawi tidak semestinya mengabaikan agama.

Sejak tahun 2020, Pesta Teater USM telah memilih karya novel untuk diadaptasi ke pentas. Antara karya yang pernah dipentaskan ialah Seorang Tua di Kaki Gunung (2020), TiVi (2021), Musafir (2022), Senjakala (2023), Aci Patmabi (2024) dan Tulang-Tulang Berserakan (2025).

Usaha mengangkat karya sastera yang mengandungi kritikan sosial terhadap kehidupan dan budaya masyarakat ini wajar diteruskan. Bagi saya, karya-karya lama mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mengajak kita berfikir tentang kehidupan, bukan sekadar mengikuti perkembangan plot.

Menguak Kabus mungkin masih memerlukan kemasan dari segi adaptasi dan lakonan untuk menjadikan penceritaannya lebih padat dan berkesan. Namun, saya menghargai keberaniannya mengangkat persoalan yang tidak mudah, khususnya tentang ketaksuban agama dan pertentangan antara kepercayaan dengan perbuatan manusia.

Akhirnya, bagi saya, perjalanan Dahlan bukan sekadar tentang kehilangan keluarga atau mencari tempat untuk meneruskan kehidupan. Ia juga tentang keupayaan seorang anak muda untuk bangkit, memilih jalannya sendiri dan membina masa depan tanpa membiarkan kesilapan orang lain menentukan seluruh hidupnya.

Dan mungkin di situlah letaknya makna Menguak Kabus - bukan semestinya menemukan semua jawapan, tetapi belajar melihat dengan lebih jelas di sebalik kabus yang menyelubungi kehidupan manusia.

Image from: SENI | Teater 'Menguak Kabus' - Antara Ketaksuban Agama, Pencarian Diri dan Cabaran Sebuah Adaptasi
(Sumber imej: FB Shahril Effendi)

Mengenai penulis:

Fa Abdul ialah seorang penggiat seni teater dan pengasas sebuah kumpulan teater komuniti. Masih belajar dan meneroka selok-belok seni pementasan, Fa sentiasa mencabar dirinya untuk membawa idea dan imaginasi dari fikirannya ke pentas. Baginya, menonton dan menganalisis pementasan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran - ruang untuk memerhati, memahami dan menimba ilmu daripada karya serta pendekatan penggiat seni lain.


Seni:Kita (pentaspena.pg@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved