Sentiasa bantu rakyat, Amirudin pilihan tepat lawan khianat

29 Oct 2022 • 10:46 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 29 OKT: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyifatkan pemilihan Dato’ Menteri Besar sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak adalah tepat.

Pengarah komunikasinya berkata Dato’ Seri Amirudin Shari diyakini dapat merampas semula kerusi kawasan itu daripada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengkhianati parti sebelum ini.

Jelas Azmizam Zaman Huri, pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN itu juga mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir negeri terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

“Pelbagai program menyantuni rakyat melalui Inisiatif Selangor Penyayang telah dilaksanakan pascapandemik Covid-19 demi membantu negeri ini pulih dan kembali di landasan sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan.

Malam tadi, Amirudin diumum sebagai calon HARAPAN di Parlimen Gombak yang dijangka bertembung dengan penyandangnya, Azmin yang meninggalkan KEADILAN hingga mengakibatkan kerajaan gabungan tersebut tumbang pada Februari 2020.

Beliau yang juga naib presiden KEADILAN merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua selama tiga penggal. Pada PRU14, Amirudin menewaskan calon Barisan Nasional, N Rawisandran dengan majoriti undi 11,374.