
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri untuk senantiasa bersiap sedia pada musim hujan.
“Pastikan semua longkang dibersihkan. Jangan tunggu hujan baru ambil tindakan. Kita mesti bersedia setiap masa,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Kebudayaan Penampang di sini, Isnin.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Sabah dan Persekutuan amat prihatin terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat dan akan membantu semua mangsa.
“Kerajaan Sabah simpati dengan mereka, jadi kami bersedia memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang berlindung di Pusat Kebudayaan Penampang,” katanya.
SPONSORED CONTENT Shell awards Sabah LiveWIRE winners Kota Kinabalu: Shell has awarded five enterprises as the state winners of Shell LiveWIRE Malaysia 2024, following the Sabah state finals held at Plaza Shell in Kota Kinabalu. . Read more Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang turut akan menghulurkan bantuan.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk membantu penduduk yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk walaupun tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Terdahulu, Pegawai Daerah Francis Chong semasa memberikan taklimat kepada Ketua Menteri berkata pada masa ini masih terdapat 67 keluarga membabitkan 165 penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara sejak pusat itu diaktifkan pada 5.25 petang Ahad.
Beliau juga dimaklumkan bahawa 11 kampung di sekitar daerah Penampang ditenggelami air akibat hujan lebat pada Ahad.
Nyawa seorang wanita juga diragut selepas dihanyutkan arus deras berdekatan bulatan di Donggongon semasa banjir kilat.
Kemudian, Hajiji diiringi Ewon, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Juri dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari turut meninjau keadaan banjir di Kampung Tuavon dan Hungab.
Setakat 4 petang Isnin, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 328 orang daripada 105 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kawasan.
Pada pagi Isnin, sebanyak 114 mangsa banjir daripada 42 keluarga direkodkan di dua PPS di Penampang dan Putatan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua lagi PPS diaktifkan di Tuaran dan Tamparuli berikutan hujan berterusan melanda beberapa daerah di bahagian pantai barat negeri itu sejak Ahad.
Sebanyak 29 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran, manakala 18 orang daripada lima keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, dekat Tamparuli.
“Hujan yang berlaku di Tuaran sejak semalam (Ahad) menyebabkan beberapa kawasan di sekitar dilanda banjir dan penduduk dipindahkan ke dua pusat transit.
“Namun, akibat peningkatan paras air yang masih tinggi menyebabkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memutuskan membuat pengisytiharan pengaktifan PPS di kedua-dua daerah berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, jumlah mangsa di Penampang turut menyaksikan peningkatan dengan sejumlah 165 mangsa daripada 67 keluarga berlindung di PPS Dewan Kebudayaan Penampang berbanding 112 orang daripada 40 keluarga pagi Isnin.
Situasi sama turut berlaku di Putatan apabila 116 mangsa daripada 25 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Sri Putatan, peningkatan ketara berbanding hanya dua mangsa daripada dua keluarga pagi Isnin.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
