
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak hujung bulan lalu, tular di media sosial aksi seorang pekerja Stesen Minyak Petronas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah selatan yang meniru watak anime terkenal, Naruto Shippuden dan Jujutsu Kaisen.
Menerusi beberapa video tular, dapat dilihat aksinya yang berlari dengan meletakkan tangan di bahagian belakang seperti watak Naruto Shippuden.
Kadangkala dia juga dilihat membuat gaya seperti watak Jujutsu Kaisen yang bukan sahaja menghiburkan pelanggan malah ramai pihak.
Dek kerana perwatakannya yang menghiburkan itu, ramai yang mahu pihak pengurusan stesen minyak berkenaan memberi ganjaran kepada pemuda terbabit.
View on Threads
View on Threads
View on Threads
Rupanya Ada Kisah Sedih Disebalik Aksi Naruto Shippuden & Jujutsu Kaisen
Namun siapa sangka, rupanya ada kisah sedih di sebalik aksi menghiburkan pekerja stesen minyak yang dikenali sebagai Muhammad Fakhrul Radzi Zulkefly.
Muhammad Fakhrul Radzi yang mula mendapat perhatian di TikTok menjadi bahan jenaka dalam kalangan netizen namun ada juga segelintir yang membuat andaian negatif dek kerana kelakuannya yang dianggap pelik.
Terangnya, aksi itu dilakukan hanya untuk menyembunyikan kesedihan yang sedang dialami.
Ibu Bapa Kemalangan Ketika Bercuti & Ayah Tersayang Meninggal Dunia
Ini kerana dia masih bersedih dengan pemergian bapa tersayang, Allahyarham Zulkefly Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1 Februari lalu akibat kemalangan jalan raya.
Dalam insiden itu, bapa bersama ibunya, Zaliha Tahir, abang dan ibu saudara sedang dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands, Pahang untuk pergi bercuti.
“Saya dan ayah rapat, jadi pemergiannya ibarat kehilangan permata penting dalam hidup saya. Disebabkan itu, saya cuba menceriakan diri sendiri termasuk di tempat kerja kerana ia salah satu cara untuk lupakan kesedihan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Tak Sangka Aksi Naruto Shippuden & Jujutsu Kaisen Jadi Tular, Ada Yang Anggap Diri Tak Waras
Kongsi Muhammad Fakhrul Radzi, dia tidak sangka aksinya itu mendapat perhatian ramai kerana dia tidak pernah berkongsi gambar mahupun video seperti yang tular di media sosial.
Sebaliknya, ia dirakam dan dikongsikan oleh pelanggan stesen minyak tersebut.
“Saya memang minat Naruto Shippuden dan Jujutsu Kaisen. Jadi, saja tiru gerak tangan karakter berkenaan untuk hiburkan diri.
“Rupa-rupanya ada pelanggan stesen minyak yang rakam video dan ambil gambar kemudian muat naik di media sosial.
“Kebiasaannya, mereka yang jumpa akan gelak tapi bila baca komen media sosial, ada kata saya tak waras, ambil ‘barang’ dan ada kad lain (kad Orang Kelainan Upaya).
“Ada juga gelar saya macam monyet dan cadangkan majikan buat ujian air kencing sedangkan saya buat untuk suka-suka saja,” jelasnya.
Lebih Suka Keluar Bekerja, Sedih Teringat Arwah Ayah
Kongsi Muhammad Fakhrul Radzi lagi, ada juga segelintir warganet yang mengetahui kisah sebenar datang berjumpanya semata-mata untuk memberi kata-kata semangat.
“Selepas seorang pempengaruh kongsi video saya di TikTok, ada yang datang jumpa saya di stesen minyak kemudian beri duit raya.
“Terharu dan berasa dihargai kerana mereka yang datang ucap takziah selain bagi kata semangat.
“Majikan pun faham kerana beri cuti dalam tiga hari selepas ayah meninggal dunia. Cuma sekarang, saya lebih suka keluar bekerja kerana bila cuti atau duduk bersendirian, saya akan sedih kerana teringat ayah.
“Lagipun, saya selalu bawa ayah meronda naik motosikal dan pergi memancing tapi kini semuanya tinggal kenangan. Raya tahun ini pun agak suram kerana pertama kali kami sekeluarga beraya tanpa ayah,” katanya.
Simpan Hasrat Jadi Pegawai Bomba & Tentera Udara
Jelasnya yang merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dia mahu meneruskan hidup dan berbakti kepada ibunya.
“Sebagai anak lelaki, saya ada menyimpan cita-cita untuk jadi pegawai bomba atau marsyal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana nak banggakan ayah.
“Saya juga impian membawa emak dan ayah menjejakkan kaki ke Tanah Suci tapi tak kesampaian.
“Tapi kini, saya akan berusaha bantu ibu pula dan kalau boleh nak beri kesenangan buatnya dengan belikan rumah lebih selesa jika ada rezeki satu hari nanti,” kongsinya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Kerap Hiburkan Orang Ramai Dengan Video Teori ‘Melalut’, Rupanya Tersorok Kisah Sedih Baha BHP
Baca Artikel Berkaitan: “Sampai Hati Ayah” – Wanita Kongsi Kisah Sedih, Ayah Meninggal Selepas 12 Jam Balik Dari Rumah Anak [Video]


