Senyuman Pakcik Asari terpancar terima milikan tanah 30 tahun tertangguh

14 Oct 2022 • 9:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar meluahkan kegembiraan dengan reaksi sebahagian penduduk yang lega selepas menerima hak milikan tanah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Sabak Bernam hari ini.

“Saya gembira melihat senyuman di wajah Pakcik Asari (63 tahun) dan makcik Supiah (80 tahun) yang menerima Notis 5A pemilikan tanah di Sabak Bernam siang tadi.

“Mereka telah menunggu lebih 30 tahun malah ada yang telah meninggal dunia. Alhamdulillah penantian mereka berakhir hari ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Dalam program berlangsung di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak, beliau menyerahkan Notis 5A kepada 73 penduduk Parit 8 1/2 Barat, Sungai Besar.

image is not available
Asari A Hamid. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Asari A Hamid, 63, melahirkan rasa syukur tanah didiami selama 30 tahun kini sah menjadi miliknya apatah lagi dia hanya perlu membayar kadar premium yang rendah.

“Saya dimaklumkan tentang penyerahan notis ini tiga hari lalu dan amat gembira dengan berita baik ini. Saya menunggu lama kerana tidak mempunyai harta dan kini tidak perlu risau lagi.

“Biarpun kini tidak dapat melihat kerana urat saraf mata rosak, saya bersyukur menerimanya dan pemberian lebih bermakna kerana adik turut menerimanya,” katanya kepada SelangorKini.