“Seolah-Olah Awak Tahu Itu Video Terakhir…” – Pemergian Athira Auni Undang Sebak Warganet

LocalFamily & Parenting
4 Jan 2026 • 3:57 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUANTAN – Pemergian pempengaruh TikTok, Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan, 21, yang terlibat dalam kemalangan motosikal awal pagi semalam terus mengundang sebak orang ramai, khususnya selepas satu perkongsian menyentuh hati dimuat naik oleh sahabatnya.

Menerusi perkongsian di TikTok oleh rakan arwah, @nauraa_517, dia memuat naik video terakhir Athira sambil menulis kapsyen penuh emosi:

“Hari Jumaat awak suruh saya record video awak nak tebar roti canai buat kali terakhir, seolah-olah awak dah tahu malam tu awak akan pergi buat selama-lamanya.”

Perkongsian itu segera tular dan dibanjiri ucapan takziah serta doa daripada warganet yang rata-rata tersentuh dengan pemergian Allahyarham.

Rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa sebak dan kehilangan meskipun hanya mengenali Allahyarham melalui kandungannya di TikTok. Ada yang menyifatkan wajah Athira Auni cantik dan menenangkan, malah membandingkannya dengan pelakon terkenal. “Cantik macam Wawa Zainal… Al-Fatihah buatmu dek, tak kenal tapi sedih sampai sini,” tulis seorang netizen. Seorang lagi berkata, “Bila tengok muka arwah rasa sedih pula… Al-Fatihah buat arwah Auni,” manakala ada juga yang menganggap Allahyarham sebagai bidadari syurga sambil menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah.

“Pak Cik Hanya Mampu Tengok Baju Dan Gambar Dia”

Sementara itu, bapa Allahyarham meluahkan rasa pilu atas kehilangan anak perempuannya yang sering membantu di kedai roti canai mereka.

“Dia dah pergi untuk selamanya… pak cik hanya boleh tengok baju dia, gambar dia,” luahnya dengan nada sebak.

Allahyarham Athira Auni disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran TMG Mall Bandar Putra, Kuantan, kira-kira jam 2.30 pagi.

Bapanya yang menggunakan akaun TikTok @mohdhafizzan7 turut meluahkan kesedihan dalam satu siaran langsung, mengingati arwah sebagai anak yang rajin membantu menebar roti canai ketika bersiaran langsung.

Dalam masa sama, beliau turut merayu orang ramai agar memadam sebarang gambar arwah yang boleh mengundang fitnah.

“Kalau siapa ada gambar-gambar dia, tolong padam ya… kita takut jadi fitnah. Terutama gambar tak tutup aurat, tolong padam,” katanya.

Disifatkan Anak Baik, Rajin & Lemah Lembut

Pemergian Athira Auni benar-benar menyentuh hati ramai, khususnya apabila melihat kesedihan bapanya yang kini kehilangan teman setia di kedai roti canai. Ramai warganet meluahkan rasa sebak mengenangkan suasana yang dahulunya meriah dengan kehadiran arwah membantu menebar roti canai, namun kini sunyi tanpa kelibatnya. Malah, meskipun hanya mengenali Allahyarham melalui TikTok, ramai mengakui pemergiannya sangat terasa, menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik dan disayangi Allah, sambil menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah.

Polis Sahkan Seorang Lagi Penunggang Cedera

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah memaklumkan seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 20 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tangan, siku dan paha.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang lurus di lorong kanan sebelum sebuah motosikal dari arah belakang dipercayai merempuhnya ketika cuba mengelak ke kiri, menyebabkan pelanggaran berlaku.

Berdasarkan rakaman video seorang saksi di lokasi kejadian yang dimuat naik di TikTok @denikiqm5rz, wanita itu mendakwa sebelum kejadian terdapat sekumpulan penunggang motosikal dipercayai sedang berlumba.

“Saya nampak salah seorang penunggang rempuh motosikal dia, bunyi kuat dan arwah terseret jauh ke depan,” katanya.

Menurut saksi itu lagi, dia sempat mendekati Allahyarham dan memanggil namanya sebelum dimaklumkan oleh pihak polis bahawa Athira telah meninggal dunia.

“Masa tu nampak tangan dia bergerak, mungkin tengah mengucap. Bila polis kata tangan dah sejuk, saya terus meraung,” katanya sebak.

Pemergian Athira Auni nyata meninggalkan duka mendalam bukan sahaja buat keluarga, malah buat ribuan pengikut yang mengenali arwah melalui keikhlasan dan kebaikan akhlaknya. Al-Fatihah. – The Malaysian Update

The post “Seolah-Olah Awak Tahu Itu Video Terakhir…” – Pemergian Athira Auni Undang Sebak Warganet appeared first on The Malaysian Update.