Seorang ditahan, bongkar aktiviti curi buah sawit berkumpulan

LocalPolitics
11 Oct 2025 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kegiatan sekumpulan lelaki mencuri buah kelapa sawit terbongkar susulan penangkapan seorang suspek di kawasan Kampung Tanjung Batu Kukusan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki tempatan berumur 36 tahun itu ditangkap kira-kira jam 3.30 petang susulan laporan polis yang diterima di Balai Polis Bandar Sri Indah pada Rabu.

“Penahanan dijalankan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang turut merampas sebuah lori, anak kunci dan resit jualan buah kelapa sawit daripada suspek.

“Suspek diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit bersama sekumpulan lelaki di sebuah ladang yang terletak di kawasan Sungai Burung,” katanya di sini pada Jumaat.

Kes curi itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 petang pada 3 Oktober melibatkan sekumpulan tiga lelaki yang menceroboh masuk ke sebuah ladang menaiki sebuah lori.

“Mengikut laporan itu ketiga-tiga lelaki terbabit termasuk suspek dikatakan membawa lari muatan kira-kira dua tan buah kelapa sawit yang dianggarkan bernilai RM2,000 dari ladang berkenaan,” katanya, dan menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Menurutnya polis kini berusaha mengesan dua lagi suspek dan orang ramai diingatkan supaya mengelak daripada membeli buah kelapa sawit hasil curi atau yang diragui sumbernya.