Seorang Lagi Jemaah Haji Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

31 May 2024 • 8:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Isteri Allahyarham Mohd Zahir Ismail (kanan) ketika ditemui wakil Tabung Haji - Gambar Al Hijrah Online

KUALA LUMPUR- Seorang lagi jemaah haji dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung Rabu lepas.

Perkara itu disahkan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Ismail yang berkata, Allahyarham yang dikenali sebagai Mohd Zahir Ismail dari Alor Setar, Kedah merupakan jemaah dari kumpulan KT66.

 Menurut Syed Saleh, ketika kejadian Mohd Zahir, 58 tahun sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama isteri sebelum tiba-tiba rebah di mataf.

“Dengan rasa dukacita, kami ingin memaklumkan ada kematian kedua di mana kita telah kehilangan seorang jemaah haji lelaki.

“Allahyarham adalah daripada KT66 yang baru sampai di Makkah pada 29 Mei dan pada waktu malam selepas Isya’ kita anjurkan mereka semua laksanakan umrah pertama dan beliau telah pun jatuh akibat serangan jantung di tempat tawaf,” katanya seperti dilaporkan portal Al Hijrah Online.

Mengulas lanjut Syed Salleh berkata, mangsa tidak ditolak atau dipijak jemaah lain ketika kejadian tersebut.

Beliau berkata Mohd Zahir terus dikejarkan ke kinik yang terletak dalam Masjidil Haram sebelum dihantar ke Hospital Arab Saudi namun disahkan telah meninggal dunia.

“Jenazah kemudian disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram, semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah,” katanya.

Jumaat lepas, seorang lelaki berusia 72 tahun meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah selepas pembuluh darahnya pecah. - Getaran, 31 Mei 2024