Seorang lagi mangsa kemalangan di JRTB Gerik-Jeli meninggal dunia

8 Apr 2024 • 5:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik- Jeli, dekat Gerik semalam meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dalam kenyataan ringkas berkata mangsa yang merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova berusia 54 tahun, meninggal dunia kira-kira 11.20 malam di Hospital Taiping.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari semalam, sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan MPV berkenaan.

Mangsa yang juga pesara tentera, Kamizan Kasimon, 42, dan isterinya, Noor Asmah Mat Zainal, 38, disahkan maut di tempat kejadian.

Anak lelaki dan perempuan pasangan itu masing-masing berusia 10 dan tiga tahun mengalami kecederaan di bahagian badan manakala lima lagi mangsa yang menaiki Toyota Innova juga cedera dan menerima rawatan di hospital.