Seorang Mangsa Tragedi Bot Terbalik Di Teluk Batik Meninggal Dunia

29 Aug 2023 • 2:06 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Seorang Mangsa Tragedi Bot Terbalik Di Teluk Batik Meninggal Dunia

IPOH, 29 Ogos (Bernama) — Seorang daripada mangsa kejadian bot terbalik di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung semalam, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata polis menerima laporan bahawa Nurulafiqah Abdullah Sani, 34, meninggal dunia pada pukul 4.58 pagi.

Beliau berkata laporan polis dibuat oleh suami Nurulafiqah pada pukul 6.05 pagi.

“Pemeriksaan fizikal yang dilakukan oleh kakitangan jururawat Hospital Seri Manjung mendapati tiada unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sembilan individu termasuk tujuh pelancong warga tempatan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Pantai Teluk Batik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dalam kenyataan semalam memaklumkan, dua mangsa terpaksa diberikan rawatan kecemasan iaitu seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) dan Nurulafiqah.

Nurulafiqah kemudiannya di bawa ke Hospital Seri Manjung dan dirawat di Zon Merah.

Sumber: BERNAMA