Seorang Maut, 4 Parah Nahas 2 Treler

3 Jul 2022 • 3:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota bomba mengusung mangsa kemalangan dua treler di Hulu Selangor awal pagi tadi - Gambar Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR - Seorang maut dan enam cedera, termasuk empat parah dalam nahas membabitkan dua treler di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat Hulu Selangor awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 1 pagi itu, mangsa seorang pemandu treler Tam Kin Thian, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat penumpangnya parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung nahas terbabit pada jam 1.12 pagi sebelum tiba ke lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

image is not available
Anggota bomba menyelamat mangsa kemalangan dua treler di Hulu Selangor, awal pagi tadi.

“Pemandu treler yang maut dikeluarkan menggunakan alatan khas akibat tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Empat lelaki warganegara Pakistan yang menaiki treler sama dikeluarkan di bawah timbunan papan tanda oleh pasukan penyelamat dan orang awam.

“Keempat-empat mereka parah, manakala dua lelaki yang menaiki satu lagi treler cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

image is not available
Antara mangsa yang cedera dalam kemalangan dua treler di Hulu Selangor awal pagi tadi, diselamatkan anggota.

Norazam berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut, manakala pemandu yang maut dibawa ke Unit Forensik. - Getaran, 3 Julai 2022