
PONTIAN – Seorang lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di hadapan SK Pulai Sebatang Penghulu Ghani, Sungai Manggis di sini pada tengah malam Sabtu.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Haron Rais, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah malam Ahad.
Katanya, sebaik menerima panggilan, satu jentera dengan tujuh anggota bomba ke lokasi.
Jelasnya, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota dan motosikal jenis Yamaha.
“Pemandu Perodua Alza yang didapati tersepit dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas.
"Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Ujar beliau, sembilan mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar jam1.28 pagi Sabtu.

