Seorang maut, tujuh cedera nahas empat kenderaan

17 Oct 2022 • 10:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kereta yang remuk akibat kemalangan di jalan utama Jengka 19 pada Isnin. - Foto ihsan JBPM

JENGKA - Seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di jalan utama Jengka 19 di sini pada Isnin.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang maut melibatkan seorang wanita dewasa, dua lagi tersepit dalam kenderaan iaitu seorang lelaki dan wanita dewasa manakala lima lelaki dewasa turut cedera.

Kemalangan melibatkan tiga buah kereta iaitu jenis Perodua Bezza, Proton Persona, Saga BLM serta sebuah pacuan empat roda jenis Triton.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan pada jam 8 malam.

Menurutnya, dua pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Terdapat satu wanita dewasa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan seorang lelaki dan wanita tersepit.

"Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan diserahkan kepada pihak ambulans selepas berjaya dikeluarkan untuk dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.