Seorang pekerja kuari dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan batu

5 Sep 2023 • 4:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Seorang pekerja dikhuatiri terperangkap dalam kejadian runtuhan batu di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada 10.50 pagi.

“Pihak polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk agensi yang berkaitan telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu.

“Operasi ini juga turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang memantau pergerakan batu dan cerun oleh pakar cerun JMG,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi terbabit akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya telah berusaha mengeluarkan mangsa namun tangan mangsa masih tersangkut di bawah jentera dan belum dapat dikeluarkan sehingga kini.

“Kerja-kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara kerana masih terdapat pergerakan batu yang jatuh dari tebing yang runtuh,“ katanya. -Bernama