Seorang pelanggan maut, dua lagi cedera selepas lori rempuh warung

4 Nov 2024 • 10:44 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUANTAN, 4 NOV: Seorang pekerja bengkel besi yang sedang makan di sebuah warung maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah lori merempuh warung tersebut di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian pada 3.40 petang itu, mangsa, Affendi Abd Wahab, 51, dari Taman Guru di sini, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian sendi bahu, punggung dan tangan dan kini sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Pakar KPJ Pahang di Tanjung Lumpur di sini.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu datang dari arah Kampung Pandan menghala ke Gambang. Tiba-tiba, lori tersebut hilang kawalan dan terbabas melanggar warung yang terletak di bahu jalan serta dua pelanggan yang berada di dalam warung tersebut.

“Hasil siasatan awal juga menunjukkan kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang hilang kawalan. Pemandu lori itu mengalami pendarahan dalam kepala dan cedera di tangan dan kini sedang dirawat di HTAA,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Wan Mohd Zahari berkata sampel darah dan air kencing pemandu lori itu akan diambil untuk tujuan ujian toksikolog dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved