
Festival muzik elektronik antarabangsa, HardTech (Hardmission & Techmission) dan Transmission, bakal membuat penampilan sulung di Malaysia pada 18 Dan 19 Oktober ini.
Bertempat di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang, bersempena PETRONAS Grand Prix Malaysia, acara tersebut menampilkan barisan DJ bertaraf dunia, gabungan visual imersif dan kerjasama khas dengan MotoGP yang dijangka menarik 15,000 pengunjung.
Ia turut mendapat kerjasama strategik daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan menjanjikan pengalaman muzik elektronik paling mengujakan di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran 200,000 penonton pada acara sukan berprestij itu.
“GP Malaysia tahun lepas merekodkan kehadiran 184,923 penonton dalam tiga hari. Tahun ini kami memperkenalkan beberapa tarikan Baru termasuk festival Muzik tarian elektronik.
“Sasaran kali ini agak mencabar, tapi kami yakin dengan sokongan semua pihak, ia dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran GP Malaysia, di sini baru-baru ini.
Menurutnya lagi, gabungan peminat sukan permotoran dan penggemar muzik elektronik dijangka mencipta suasana penuh tenaga dan warna, seiring dengan kemeriahan hujung minggu MotoGP.
Acara dua hari ini akan menampilkan barisan DJ bertaraf Dunia termasuk Sub Zero Project, Warface, Trym dan lain-lain.
Tiket bermula dari RM268 (pra-jualan) hingga RM498 (VIP) di ticketmelon.com & megatix.asia.
Untuk info lanjut, ikuti @hifiveasia di Instagram dan Facebook. - Getaran, 14 Ogos 2025


